Monday, April 11, 2016

CATATANKU I

CATATAN I

Ketika di Balai Berlepas Lapangan Terbang Subang aku mendapat berita kepergian ayahanda tercinta. Niat asal utk menjaga di hospital. Hatiku tidak keruan. Aku menelefon isteri tentang berita yang mengejutkan itu. lalu memutuskan agar beliau balik dengan kereta Avanza yang dipandu oleh anak saudara yang kebetulan tinggal bersebelahan rumah. Jam sudah menunjukkn pukul 4.20 petang. Pengumuman dibuat untuk menaiki pesawat. Lemah lututku untuk melangkah menaiki pesawat yang berkali-kali memanggil penumpang untuk berlepas. Kugagahi jua. Fikiranku terbayang wajah arwah. Maafkan daku kerana aku tiada di saat kau pergi mengadap Ilahi. Ya Allah ampunilah dosaku...

Sesampai di airport pukul 5.30 petang adik ipar (Alias) sudah menunggu di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa. Terus ke hospital di bahagian forensik. Kelihatan abg Khairuddin dan adikku Wan Mohd Naim sdg mandikan jenazah bersama ustaz yang ditugaskan utk urusan tersebut. Terus aku menyertai mereka. Kulihat wajah jenazah cukup tenang. Seolah-olah redho dgn kepergian ke alam baqa. Masa mudanya penuh dgn mendidik dan mengajar al Quran kpd anak2 bangsa di beberapa buah sekolah.

Selesai urusan mandi dan kapankan jenazah. Kami sama-sama solat jenazah di ruang solat yang kecil di bhgn kanan bilik mandi tersebut. Diimamkan oleh ustaz yang menguruskan jenazah. Bercucuran air mata ketika mengangkat takbir dengan membacakan fatihah dan surah la-ikhlas pada takbir pertama diikuti takbir seterusnya hingga takbir keempat. Disudahi dengan salam. Dengan penuh hiba kami mengangkat jenazah ke dalam van yang telah tersedia menanti. Kami tiga beradik sama-sama mengiringi jenazah dengan menaiki van untuk dibawa pulang ke kg halaman kami iaitu Kg Banggol Setol, Pasir Mas, Kelantan. Aku belum minum atau menjamah makanan lagi pada petang itu tapi seleraku tiba-tiba hilang dan mati...

Setinggi penghargaan kepada para doktor yang bertungkus lumus untuk menjayakan pembedahan pada hari ini, hari jumaat ( 1 April 2016) hari yang mulia. Namun, Allah lebih menyayangi arwah.

Perjalanan begitu lancar. Kami sampai tepat pukul 7.30 petang dikala jemaah sedang solat maghrib di masjid al-Idrisi, Banggol Setol. Jenazah terus dibawa ke rumah dan diletakkan di atas katil yang selama ini menjadi tempat tidur dan berehat arwah. Katil hospital itu dibeli pada tahun lepas demi keselesaan arwah.

Kami menerima begitu ramai tetamu sama ada dari dekat dan jauh. Saudara mara, kaum kerabat, kenalan berduyun-duyun datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. Kelihatan dua orang ibu saudaraku di sisi jenazah iaitu Makchik Sah Manik Urai dan Makcik Kamariah Pasir Mas. Kini hanya tinggal mereka berdua sahaja adik beradik arwah yang masih ada atas dunia ini.

Kedua-dua Makcikku itu kelihatan sugul. Inginku peluk dan menangis dlm pelukan mereka, namun tak kesampaian atas sebab begitu sesak rumahku pada waktu itu dengan bilangan pengunjung yang semakin bertambah ramai. Kakakku bgtau ramai yang datang sebelum jenazah sampai lagi. Mereka terdiri daripada kenalan di Kg Cherang Hangus, Kg Batu karang, Kg Pusu 40, Kg Baru dan byk tempat lagi. Begitu juga saudara mara dari Kg Laut, Kg Dangar, Repek dsb.

Tepat pukul 9.50 malam jenazah dibawa dengan menggunakan Van Jenazah Kg Lubok Kawah yang dipandu oleh Cikgu Harun. Bekas guruku di SMK Tang Chandi. Juga merupakan warisku sebelah arwah ibu. Kami menjangkakan 100 orang untuk menyembahyangkan arwah tetapi jumlahnya lebih daripada jangkaan. Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah memuliakan insan yang bergelar cikgu ini.

Setibanya di pusara, orang-orang kampung sama-sama mengangkat jenazah hingga ke tempat persemadian. Menurut penggali kubur iaitu Pakchu, selalunya kubur di kawasan itu akan berair tidak kira hujan atau panas. Namun kali ini kuburnya kering dan tiada air langsung.

Pakchu ckp "cikgu ni jenis ore sembahyang"... Ya Allah..benarlah janjiMu. Aku terhiba dengan kata-kata Pakchu itu. Rupa-rupanya kerja menggali juga dibantu oleh Nazri atau dikenal sebagai Uda (kawan lamaku dan juga bekas anak murid ayahku).

Tiba saat untuk dimasukkan jenazah ke liang lahad, kami tiga beradik bersepakat untuk sama-sama masuk ke liang lahad. Apabila jenazah diturunkan dengan ucapan zikir dan bacaan ayat suci yang tidak putus-putus kami menyambut jenazah dan meletakkan dalam long(keranda) yang terlebih dahulu dimasukkan dan dibetulkan kedudukan. Setelah keranda ditutup maka tanah-tanah ketul mula dimasukkan utk dijadikan penyendal. Sekali lagi hatiku menangis. Memohon Ya Allah moga arwah mendapat husnul khotimah. Pusara arwab bapa berdekatan dengan pusara arwah ibu yang terlebih dahulu pergi mengadap Ilahi pada 8 Mei 2010.

Selepas itu diiringi bacaan tahlil oleh Ayah Mud (tuan Mud). Moga Roh arwah ditempatkan dlm kalangan orang yang beriman.

Selesai sahaja urusan jenazah perutku mula berbunyi. Tidakku sedar rupanya sejak pukul 12 tengah hari aku belum menjamah makanan. Dengan menaiki kereta Fahmi (anak saudara) kami yang diserta Jo dan Naim pergi ke kedai makan dekat Risda untuk membeli makanan bagi mengisi perut serta beli juga untuk yang lain-lain di rumah. Isteri dan anak-anak dan anak saudara sampai pukul 5 pagi. Mereka bertolak pukul 8 malam. Walaupun tidak sempat melihat jenazah namun sudah cukup untuk pulang bagi menziarahi jenazah. Kami bertolak pulang ke Lembah Kelang pada petang ahad. Sempat buat tahlil satu malam sahaja. Aku dikhabarkan majlis tahlil diadakan selama 7 hari. (bersambung)

No comments: