Sunday, April 24, 2016

CATATAN XV KE 15 PERJALANAN KE TERENGGANU

Perjalanan ke Terengganu amat menyeronokkan. Bangun awal pagi. Makan nasi kerabu. Minum teh O. Sebenarnya semalaman aku tidak lena tidur apabila diberitahu akan ke Terengganu. Asyik tanya ibu walaupun memang sudah tahu. Sampai ketika ibu buat tak tahu jer. Pabila soalan yg sama dan berulang-ulang menerjah telinganya.

Ibu membawa kami adik beradik iaitu aku, abg Din dan Kak jah. Sementara bapaku tak dapat pergi kerana ada urusan lain. Abgku yang seorang lagi iaitu Wan Mohd Syukri sudah pergi mengadap Ilahi pada tahun 1976 lagi.

Kami gembira kerana dapat naik banyak bas. Dari Chabang tiga Pok Leh ke Pasir Mas, naik bas SKMK. Di Bandar Pasir Mas pula naik bas P. Mas - Kota Bharu. Di Kota Bharu pula naik bas KB-Jerteh. Dari Jerteh naik bas biasa ke Kuala Terengganu. Berhenti di Kg Buloh(Bdr Permaisuri). Naik bas Penarik. Bas akhirnya sampai ke destinasi iaitu Kg Banggol.

Perjalanan yang cukup lama melewati dari pagi hingga ke petang. Aku duduk di tepi tingkap. Sambil menghulur tangan utk merasa angin. Debu dan habuk tak peduli. Tambah lg dgn bau minyak diesel yg berkepul drp ekzos bas. Dapat melihat bangunan kedai, kereta2, motorsikal, beca di tgh bandar kb. Semakin menjauh dari bandar sawah bendang mula kelihatan. Petani mengerjakan sawah. Anak2 sedang bermain. Alangkah seronoknya mereka. Satu ketika melalui kawasan ladang getah, hutan dan bukit bukau. Agak lama juga sehingga aku dibuai mimpi di siang hari. Dikejutkn oleh abgku. Rupanya dah sampai di Pekan Jertih. Turun di stesen, sempat basuh muka, solat zohor dan makan tengah hari. Nasi dagang lauk ikan tongkol memang cukup popular di samping nasi kerabu yang dijual di warung berdekatan stesen bas Jerteh. Kebanyakan orang Jerteh bercakap macam orang Kelantan. Ada yang mendakwa mereka tu anak Kelantan.

Pada awalnya seronok tapi mulai rasa boring apabila perjalanan yg cukup lama. Asyik tanya ibu "bila nak sampai?".

Di stesen bas, Ibuku bertanya orang. “Bas ni gi ke Kg Buloh hok mana?” tanya ibu kepada seorang lelaki yang kebetulan sedang makan bersebelahan meja di sebuah warung. Terus lelaki yang baik itu menunjukkan ke arah bas yang diparking di sebelah kiri stesen bas. “Bas itu yang warna biru ke Kg Buloh( Bdr Permaisuri) Sambil membimbit beg, dipimpinnya aku. Abang dan kakakku masing-masing membawa beg plastik gelenyar (yang aku lupa apa isinya)..ibuku memang tak bersekolah. Tambahan pula keluarga yang susah. Kais pagi mkn pagi, kais petang mkn petang. Sepanjang perjlnan dari Kelantan hingga ke Jertih, konduktornya semua lelaki tapi di Jerteh ke Kg Buloh, Terengganu konduktornya adalah perempuan. Berbaju kurung tanpa tudung. Nampak kasar dan garang. Lambat naik. Dijeritnya "naik, naik, naik" dgn suara yg nyaring. Ditariknya guni yg berisi brg ke atas bas dgn sebelah tgn. Memang mengalahkan orang lelaki. Ibuku pula memang seorang yang peramah. Bersembang dengan seorang penumpang yang duduk di kerusi di sebelah ibu. Aku dukuk di tepi tingkap. Abang dan kakak berkongsi kerusi. Penghawa dingin memang tiada. Harapkan angin luar. Kelihatan juga ramai yang berdiri. Makcik yang bersembng dengan ibuku itu rupanya nak ke Chalok. Bila ibuku ceritakan nak pergi ke Kampung Banggol dan diceritakan perihal suami kakakku itu, ruap-rupanya makcik itu kenal. Rancak juga perbualan mereka. Kg Banggol, Jalan Penarik tu tinggalnya kakak aku iaitu Kak Zah atau Wan Azizah bt Wan Harun. Kakak sama ibu lain bapa. (Kakzah sdh meninggal dunia pada mei tahun 2014)...

Disebabkan masalah keluarga, beliau membawa diri hingga ke Terengganu. Ketika kecil, bapaku memelihara kakakku dan menganggapnya sebagai anak sendiri. Namun disebabkan hubungan dengan ibu tiri yang tidak berapa baik maka berlakulah krisis yang aku tidak diberitahu lebih lanjut tentang itu. Cukup sekadar itu sahaja. Bertahun-tahun keluargaku mencarinya sehinggalah ditemui berada di Kg Banggol, Terengganu.

Kakzah rupanya telah memilih seorang OKU untuk menjadi teman hidupnya. Tanpa tangan dan tanpa kaki. Dipanggil juga Orang Timun. Namun otak geliga. Boleh membaiki kereta dengan mengarahkan orang lain buat. Pernah mengajarku bawa kereta(dah kerja). Bijak berkata-kata. Kerjayanya menjual ubat di merata tempat sehingga ke Kedah. Ada seorang pemandu dan pembantu. Pernah sampai ke Makkah dan bergelar haji. Walaupun tanpa tangan dan kaki, Haji Jaafar ini boleh makan sendiri tanpa bantuan orang lain. Cuma sediakan meja yang separas dengan dada. Sudu dan pinggan serta nasi. Semuanya diuruskan sendiri. Subhanallah.

Gambar KakZah, suaminya Hj Jaafar anak Mat Kasim

Gambar tahun 2010

Sebelum berkahwin, rupa-rupanya Hj Jaafar sudah berkahwin dengan seorang perempuan yang tinggal di Jertih. Jodoh tidak panjang. Wanita itu meninggalkan Hj Jaafar dengan seorang bayi lelaki yang sebaya dengan aku iaitu Syukria. Cuba bayangkan..kahwin dengan seorang OKU terpaksa bela pula anak lelaki yang masih kecil. Mujurlah Hj Jaafar masih ada ibu yang banyak membantu menguruskan bayi dan beliau yang OKU. Sehingga berkahwin dengan Kakzah, bebanan menjadi ringan. Alhamdulillah hasil perkahwinan Hj Jaafar dengan Kakzah mendapat sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan.Yang lelaki bernama Mat Kasim sampai sekarang tidak kahwin kerana menjaga ayahnya yang OKU. Sementara adiknya Noreha sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak perempuan. Bapa Hj Jaafar iaitu Hj Mohamad atau org pggil Tok Pok suka berpoligami. Isterinya ramai. Anak-anak pun ramai. Harta pun banyak. Yang lain dilahirkan sempurna tetapi Hj Jaafar...

Apabila tiba di Kg Banggol, aku banyak berkawan dengan Syukria kerana sebaya denganku. Aku dibawa memetik buah gajus atau buah ketereh yang banyak tumbuh di kiri dan kanan jalan. Buah gajus rasanya payau. Bijinya boleh dibakar dan sedap dimakan. Kami suka mandi sungai dekat perkuburan Kg Banggol. Airnya sejuk dan dingin. Namun petang itu tidak sempat kerana hampir maghrib baru sampai. Baju pun lencun dengan peluh. Pada mlmnya selepas solat isyak kami dijamu dengan nasi berlaukkn ikan tongkol singgang. Daging goreng. Acar timun. Ulam daun gajus. Budu yang diperah asam liimau. Memang berselera sungguh. Aku sampai tambah dua kali.Selepas mkn mlm, aku dan abang terlena tidur di ruang tamu beralaskan tikar mengkuang. Bantal kekabu. Selimut yang nipis. Kakak pula tidur dlm bilik.

Nampak sangat keseronokan yang ditunjukkan dengan kedatangan kami. Malam kami sampai tu sungguh rancak perbualan dengan ibu. Dua-dua sama peramah dan suka cakap banyak. Aku tak tahu apa yang mereka bualkan. Kami tertidur.

Pagi-pagi lagi kami dikejutkn dengan kokokan ayam yang bersahut-sahutan. Ayam peliharaan Kakzah tidur di bawah rumah. Bingit bunyinya. Diikuti kicauan burung murai yg berleter di pagi hari. Burung Chak Chiak yg menjadi penghuni setia rumah juga mula bernyanyi lagu pagi. Mungkin pesanan utk anak dlm sarang sebelum keluar mencari makan. Suasana dingin di pagi hari juga menusuk hingga tulang sum sum. Mungkin faktor pengaruh angin dari laut. Kebetulan berdekatan pantai Penarik. Suasana itu menyebabkan aku tak mandi pagi. Sebaliknya hanya gosok gigi dan mengambil wuduk sahaja.

Kuintai Abg Hj Jaafar sedang solat tp dia selalu solat sendirian. Wiridnya pun panjang sampai pukul 8 belum habis lagi. Mcmana dia solat? Rupanya di tempat sujud di atas sejadah Kakzah meletakkan satu bantal utk memudahknnya sujud. Subhanallah. Walaupun tidak sempurna tetapi biarlah sempurna di hadapan Allah.

Di Kg Banggol, bekalan elektrik hanya 12 jam. Itupun menggunakan kuasa generator yang terletak di hujung kampung. (Kampung aku memang langsung tiada bekalan elektrik pada waktu itu). Bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi. Pada petang kami naik bas ke Pantai Penarik. Seronok melihat suasana pantai. Namun anginnya cukup kencang. Kami tidak mandi kerana keadaan pantai yang curam. Merbahaya jika mandi. Kmai hanya melihat pemandangan pantai serta pasir yang memutih. Pokok kelapa melambai-lambai ditiup angin. Desir angin yang menderu. Dingin rasanya.

Keesokan harinya, kakzah membawa kami berjalan2 di rumah saudara mara belah abg Hj Jaafar. Sambil ziarah diperkenalkn kami. Mereka sungguh gembira kerana sebelum ini tak pernah berjumpa dgn keluarga kakzah.

Kami berada di Kg Banggol selama 3 hari 2 mlm. Timbul rasa bosan pulak. Teringat pula kawan-kawan di kampung. Pagi khamis kami bertolak balik ke Pasir Mas. Kakzah menghantar kami hingga ke Bdr Permaisuri (Kg Buloh). Mcm2 dibeli untuk dibawa pulang sbg buah tangan. Hampir satu guni. Kulihat manik2 jernih mula menitik di pipinya. Sambal dicium pipi kami semua.Sedih kerana akan berpisah dengan kami. Selepas itu, Kakzah juga selalu balik kampung terutama pada hari buat ketupat dengan menaiki kereta yang dimiliki oleh Abg Hj Jaafar. Dipandu oleh abangnya sendiri iaitu Pak Teh Kob.

#nota kaki : Kakzah (Wan Azizah)-telah pulang kerahmatullah pada 8.5.2014 di Hosp Besar K. Terengganu kerana masalah jantung.

No comments: