Sunday, May 4, 2014
Asal usul Kampung Berok
Kampung Berok kini dikenali sebagai Kampung Jambu.
TERDAPAT sebuah perkampungan Siam di sini yang agak terpencil di daerah Tumpat dikenali sebagai Kampung Berok.
Kampung yang memiliki nama unik itu terkenal dengan patung Sleeping Buddha di mana ia patung terbesar di Asia tenggara telah berdiri gah di Wat Phothivihan.
Perkampungan Siam itu didiami kira-kira 300 masyarakat Siam dan ia bersempadan dengan daerah Pasir Mas.
Disebalik nama kampung itu, pelbagai versi asal-usul kampung berkenaan.
Ada yang mengaitkan dengan mitos hantu beruk besar yang sering menganggu penduduk di sini iaitu di sempadan Kampung Berok dengan Pasir Mas.
Ada juga yang mengaitkannya dengan cerita seorang ketua sami yang memelihara beruk besar di dalam kuil Buddha di kampung terbabit dan kemudiannya haiwan itu dicuri.
Didiami hanya 10 keluarga
Penduduk Kampung Berok, Mek Kecur Chaw Din, 79, berkata, suatu ketika dahulu kampung itu merupakan sebuah perkampungan yang sunyi dan hanya didiami 10 keluarga.
Menurutnya, walaupun agak sunyi, kawasan kampung itu juga dipenuhi hutan yang tebal. Walaubagaimanapun, ia menjadi laluan penduduk dari kampung sekitar terutamanya dari Pasir Mas yang berjalan kaki ke bandar Kota Bharu.
“Dulu kawasan kampung ini dipenuhi dengan pokok sagu, mana ada jalan seperti sekarang ini, yang ada hanya jalan laluan kerbau, ia berselut tetapi itulah jalan kami guna berulang alik ke ke kampung sebelah mahu pun ke bandar Kota Bharu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tiba-tiba kisah hantu beruk besar tersebar merata tempat apabila ada dakwaan yang mengatakan penduduk kampung diusik hantu itu ketika melalui kawasan alur di hujung kampung.
“Entah macam mana muncul cerita hantu yang menyerupai beruk besar di hujung kampung ini. Dengar cerita, sesiapa yang melalui kawasan alur yang sunyi itu, pasti akan diganggu hantu beruk,” katanya.
Menurutnya lagi, beruk itu akan menggoyangkan pokok sagu dan cuba menakutkan sesiapa saja yang melintasi kawasan itu.
Nama kampung sudah diubah
Kisah seram itu yang berlaku di zaman kanak-kanaknya mempopularkan kampung itu sehinggalah ia dikenali sebagai Kampung Berok sehingga sekarang.
“Bagi generasi baru, mungkin sudah tidak mengenali Kampung Berok ini kerana ia sekarang sudah ditukar dengan nama baru iaitu Kampung Jambu.
“Walaupun sudah ditukar nama, masih ramai lagi yang memanggil kampung ini sebagai Kampung Berok terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya.
Mek Kecur berkata, kampung itu juga sudah tidak sunyi lagi kerana sudah didiami ramai penduduk, dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya yang menghubungkan Pasir Mas dengan daerah Tumpat dan Kota Bharu.
Lokasi yang dikatakan diganggu hantu beruk besar pun sudah diterokai dan didiami penduduk apabila terdapat empat buah rumah dibina di situ.
'Beruk ketua sami kena curi'
Bagi Pegawai Pengerak Masyarakat Wilayah Timur, Eh Deng Eh Chek yang dilahirkan di Kampung Berok berkata, yang peliknya kampung ini tersohor sebagai Kampung Berok dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja tetapi bukan dalam kalangan masyarakat Siam dari luar kampung berkenaan.
Baginya, asal usul Kampung Berok bukan dikaitkan cerita hantu beruk tetapi kisah ketua sami di sebuah kuil Siam yang kini dikenali Wat Phothivihan yang memelihara beruk besar sekitar tahun 1920-an.
“Nak dijadikan cerita, kuil yang didiami ketua sami dimasuki pencuri, tetapi tiada apa yang dapat diambil pencuri itu selain seekor beruk besar kepunyaan sami tersebut.
“Apabila tersebar cerita kuil Siam di Kampung Jambu ini dimasuki pencuri tiba-tiba kampung ini dipanggil Kampung Berok sempena beruk ketua sami kena curi,” katanya.
Katanya, sekitar tahun 1975, Kampung Berok ini ditukar kepada Kampung Jambu kerana nama berok itu dikatakan nama yang kurang baik.
Apatah lagi untuk dinamakan kepada sebuah kampung yang menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat Sleeping Budha tersebut.
“Sekitar tahun 90-an, saya mengarahkan penduduk menukarkan alamat Mykad masing-masing kepada Kampung Jambu, begitu juga generasi baru,” katanya.
Bagaimanapun, bagi penduduk yang berumur 50 tahun ke atas, masih tercatat Kampung Berok di sijil kelahiran mereka termasuk di sijil lahirnya sendiri
Dipetik dari sinarharian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment