Suasana di rumah
Menjelang malam suasana kembali sunyi. Hanya dipenuhi dengan bunyi cengkerik, belalang, riang-riang dan katak dalam alur sagu bersahut-sahutan. Belalang pelesit memang menakutkan. Bunyi pun mcm pelesit. Tika itu orang kampung belum mampu untuk membeli lampu suluh. Ada yang menggunakan karok(api yang dibakar pada daun kelapa kering yang diikat-ikat) sebagai penyuluh untuk berjalan pada waktu malam. Risau juga takut ada ular tedung yang berkeliaran pada waktu malam. Kena pagut memang jadi gemulah. Pelita minyak tanah mula dipasang di dalam rumah. Jelaga drp pelita itu memberi kesan hitam kepada dinding dan siling rumah. Kadang-kadang aku membuat kerja sekolah berpandukan cahaya pelita. Amat menganggu jika ada serangga kecil berpusing-pusing di pelita itu. Buat aksi akrobatik. Pernah hidungku kehitaman kesan jelaga minyak tanah.
bermain bayang
Jika angin kuat padamlah pelita itu. Ada yang beli pelita yang lebih mahal. Sumbu pelita itu ada ditutupi kaca dan dihiasi dengan gambar perempuan mata sepet. Pelita menghasilkan bayang-bayang. Aku cukup gemar bermain dengan bayang. Macam-macam bentuk dapat dihasilkan. Bentuk kucing, itik, kambing dan sbgnya. Semakin dekat objek dengan pelita, semakin besar bayang-bayangnya. Kadangkala ambil selimut ikat antara kerusi dan tiang. Lepas tu buat objek dan kami berteka teki. Itulah hiburan yang ada.
Lampu gasolin -gambar hiasan
Kadangkala dipasang dengan lampu gasolin. Lampu ini akan diisi dengan minyak khas dipanggil speret. Terdapat tombol untuk dipam. Sumbunya lebih besar. Seumpama kain linen. Dinyalakan api dan cahayanya lebih terang seperti lampu kalimantang. Lampu ini selalunya dipasang di balaisah dan surau. Jika hujan pada petangnya banyak kelkatu yang terbang mengelilingi lampu tersebut. Begitu juga pelita minyak tanah dihurung oleh kelkatu. Menurut cerita orang tua, kelkatu ini nk cari pasangan. Entah betul entah tidak. Kadangkala bapaku letakkan minyak tanah dalam besen air. Ini akan menjadi perangkap dan terus membunuh kelkatu. Bosan melayan kelkatu hembus semua pelita dan terus tidur. Kadang kala pukul 9 sudah melelapkan mata. Maklumlah tiada hiburan pada waktu itu. Tv hanya boleh ditonton pada malam jumaat dan sabtu sahaja. Itupun rumah orang. Jika giliran bapaku mengajar kitab di balaisah, kami beramai-ramai ke balaisah yang jaraknya 2 km dari rumah. Bapa naik motor. Kadangkala dia pergi dahulu. Nak buka pintu balaisah. Kami akan ikut dengan berjalan kaki.
Kertuk
Di balaisah itu terdapat kertuk yang dibuat oleh Pak Teh Bedu. Dilapisi buah kelapa yang dipangkas. Atasnya diletakkan kayu. Pengetuknya diikat tiub getah sehingga tebal. Apabila diketuk bunyinya sungguh nyaring. Bergema satu kampung. Namun yang terdetak hati untuk ke balaisah orang yang sama. Keadaannya sama dengan sekarang. Siap dengan pemebsar suara lagi. Namun.... Fungsi kertuk sama dengan beduk untuk memberi peringatan waktu sembahyang. Selalunya bapaku mengajar kitab selepas maghrib. Antaranya berkaitan nifas, wuduk, solat, puasa dsbnya. Ruang solat balaisah itu diasingkan dengan mengguankan kain perca yang disambung-sambung. Diikat dengan tali rafia. Ahli jemaah yang setia menjadi makmum ialah seperti Jusoh Che Teh, PokTeh Bedu, Ya Butir, Abe Noor, LI Bisu, Pakcu Nik, Budak Awang, Paksu Ghoni, Paknik Hj Jusoh, Pakmuda Putih. Yang perempuan pula maksu Munah, Mak adek Rakno, Maksu Joh, Munah Ya dll. Bila tiba bulan puasa, ahli jemaah akan bergilir-gilir membuat morei. Yang paling popular ialah cendol, butir nako, kepek idung. Lepas terawih dan meratib. Kami makan-makan. Balik drp balaisah pergi cari colek malah. Selalunya Jusoh Che Teh yang selalu jadi bilal terawih. Bapaku jadi imam.
Masa nak bersahur juga menyusahkanku. Ibuku bangun seawal pukul 3,30 pagi. Perangat ikan singgang. Panas nasi dingin. Buat air teh. Aku memang payah nak bangun. Hanya dengan suara bapaku yang boleh mengejutkanku. Kalau sekadar suara ibu memang tak akan bangun sebab lebih sayangkan tidur. Kalau hari cuti, lepas solat subuh aku akan sambung tidur. Bangun pukul 10-11 pagi. Hari pertama puasa terus ke dapur dan minum air. Terkejut ibuku. “Batal doh posomu!..”ibuku cakap. Aku pun terus tidak puasa. Walaupun tak puasa tapi aku kena ikat perut seperti orang puasa juga kerana makanan tiada ada. Hanya disediakan pada waktu petang. Seawal pukul 3 petang ibu sudah bersusah di dapur. Tiap hari tanya kami nak makan apa untuk berbuka. Aku jawab nak makan nonde. Ibuku terus minta aku kukur kelapa dan kisar beras yang dicampur dengan daun pandan. Walaupun perut lapar tapi seronok menolong ibu di dapur. Macam-macam menu dibuat oleh ibu. Selain nonde, ada kepek idung, butir nako dan lompat tikam. Kadangkala ibu buat sira roti. Celup roti butut dalam air gula. Itu pun sedap. Sira ubi, pisang, keledek itu memang kebiasaan. Tapai ubi dan beras juga dibuat tapi pada hari raya.
Abgku, abg din pula berkayuh basikal tua beli air batu takung di Batu Tiga Repek. Ini adalah disebabkan kawasan itu sahaja yang ada elektrik. Satu bongkah air batu harganya dua puluh sen. Dipotong dalam bongkah segi empat sama dengan gergaji.Diletakkan habuk gergaji agar air batu tidak cair. Macam-macam air disediakan. Air sirap, air tuak, air kelapa. Semuanya ada. Juadah berbuka memang bermacam-macam. Menantikan waktu berbuka sempat bermain-main di halaman rumah. Menantikan waktu berbuka, radio diselangi dengan nasyid-nasyid oleh kumpulan al-Mizan, Orkes suraya, Aishah Jamil dsbnya. Lagu-lagu seperti 'Junjungan Mulia', 'Selimut Putih'. Cukup popular. Di samping itu muzik instrumental oleh Ron Goodwin spt rReturn to Paradise dan Heaven.
Masa berbuka memang ditunggu-tunggu. Air sudah sedia. Onde-onde sudah dalam mangkuk, nasi tersedia dengan lauk. Bunyi azan maghrib dalam radio menunjukkan waktu berbuka. Suasana sunyi dan hening. Semuanya mengadap makanan untuk berbuka. Selepas doa berbuka dibacakan, kami terus makan apa yang ada di depan mata...(bersambung)
No comments:
Post a Comment