Bila tiba musim hujan semua aktiviti seolah-olah terhenti. Menoreh getah, menanam padi, memotong kayu dan lain-lain terhenti. Hujan yang berterusan selama seminggu lebih telah mengakibatkan banjir. Mujurnya kampungku tidak pernah digenangi air banjir. Namun kampung sekitar seperti Kg Lumpur, Kg Machang Bubuk, Kg Jejawi, KG Chenerai, Kg Bongor, Kg Tok Sangkut selalu ditenggelami air. Pada musim banjir orang-orang kampung sekitar akan membawa binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing untuk ditambat di tepi-tepi jalan utama di Kg Banggol Setol(kampung kelahiranku). Menurut orang tua-tua spt Pak Teh Che Hat danTok Dor Umar, waktu bah air merah sekitar tahun 1926 kampungku pun tak pernah di naiki air. Memang sesuai dengan namanya iaitu banggol(tempat yang tinggi). Selain itu Gual dan Gong juga mempunyai maksud yang sama. Fenomena banjir ini berlaku setiap tahun.
Selalunya musim tengkujuh jatuh dalam musim cuti sekolah iaitu sekitar nov-dis setiap tahun. Petir dan guruh saling bertingkah. Aku menekup telinga. Bapaku selalu suruh baca ayat kursi ketika petir atau kilat melanda. Org kampung aku juga panggil 'pak ndir'. Aku pun tak faham apa maksud panggilan tersebut. Kebiasaannya hujan sudah mulai turun sebelum cuti sekolah lagi. Bapaku memakai baju hujan yang besar. Cukup untuk kami berdua. Abangku pula belajar di sekolah lain iaitu SK Kedai Tanjung. Aku membonceng motor dibelakang bapaku sambil memeluk perutnya yang buncit. Kasut pula daripada jenis getah sepenuhnya. Kalau hujan. Masuk air dalam kasut. Bila berjalan bunyi 'pluk plak’. Bila buka kasut, bau kaki memang cukup busuk. Kadangkala ada nanah pada kuku ibu jari kaki. Org ckp 'kena semoyang''. Memang sakit. Bila dah tegang dan membonjol. Dipicit-picit dengan penuh kesakitan . Keluar nanah putih bercampur darah. Lega rasanya. Bila cium..mmg busuk tp sudah jadi tabiat untuk menciumnya. Celah kaki pula pecah-pecah. Pedih dan gatal. Orang kata dimakan air. Mcm2 penyakit. Kurap tu memang biasalah. Garu2 sampai berdarah pun tak sedar.
Pada musim banjir bunyi air hujan jatuh pada atap rumbia cukup berirama bunyinya. Atap dibuat secara tradisonal oleh orang-orang kampung. Tok Sedaraku iaitu Tok Ayah Tuan Yib memang handal buat atap daripada daun sagu(rumbia). Pelepah sagu ditetak kemudian daun dipangkas menggunakan parang. Daun-daun itu disusun dan dilipat pada buluh yang dipotong. Kemudian dijahit dengan batang bemban. Batang bemban itu banyak tumbuh dalam alur sagu di depan rumah. Batang bemban dipotong kepada empat bahagian secara menajang. Kulit batang bemban itulah yang menjadi tali untuk dijahit pada atap rumbia tersebut. Sebahagian bumbung pula ada yang dibubuh zink. Memang cukup bingit lantunannya. Terutama bila air menitik. Tik tok tik tok..bunyinya. Angin timur laut bertiup deras. Ada pokok tumbang. Ada dahan patah. Ada ranting jatuh. Tempias sehingga masuk ke dalam rumah. Habis bocor satu rumah.
Waktu pagi susah untuk bangun ketika musim hujan. Sejuk dan kaku. Air pun mcm rasa macam ais. Sejuknya. Kadangkala kena jerang air utk dptkn air suam. Baru boleh mandi. Kalau hari cuti memang sambung tidur lepas solat subuh. Memang tidak mandi langsung. Pukul 12 baru bangun. Itupun suasana masih gelap dgn keadaan langit hitam. Aku tak sedar rupanya sudah menjelang tghari. Selalunya pada musim hujan ibu rebus ubi kayu, ubi keledek serta tanak pulut. Pulut pulak dicicah dengan ikan kering atau kelapa yang dicampur gula. Aku dengan abang Din berbekalkn cangkul kontot pergi belakang rumah. Payung pula daripada daun pisang. Potong daun pisang buat peneduh. Orang zaman itu seperti Tok Dor Umar memang tidak ada baju hujan tapi membuat baju hujan daripada upih pinang. Upih itu diikat dengan tali kecil drp pokok bemban. Dijahit kulit batang bemban yang tumbuh dalam alur sagu. Pada hujung upih yang diikat itu diletakkan batang kayu yang kecil untuk disangkut pada kepala. Itulah payung yang digunakan peringkat awal. Upih pinang itu pula banyak kegunaan. Antaranya untuk permainan tarik orang. Siapa cepat dia menang.
Kerja gali ubi kayu, ubi keledek dan segala jenis ubi memang kegemaran kami. Kadangkala ubi keladi pun jadi menu. Ubi akan direbus atau dibakar. Ubi keledek dimasukkan dalam sayur lemak putih. Kekenyangan mkn ubi dan pulut rupanya mengembungkan perut. Asyik keluarkan angin. Masing2 berlawan keluarkan angin. Siapa paling banyak dikira juara. Yang tak tahannya ada yang sampai terkeluar najis cair. Busuk memang tidak terkira.
Bapaku selalu mengalami sakit urat ketika musim hujan. Keadaan sejuk menyebabkan kesihatan bapaku terganggu. Memang bapaku dilahirkan sempurna tetapi ketika remaja pergelangan kakinya dijangkiti penyakit ‘puru’. Sejenis penyakit yang menyerang sendi. Kesannya kakinya menjadi cacat dan berjalan ‘kekcot’ hinggalah ke akhir hayat. Lanjutan drp penyakit itulah yang selalu mengganggu kesihatan beliau. Ibuku akan membakar tungku atas dapur kayu. Bila sudah panas, tungku akan diambil dengan kain buruk. Dilapisi dengan kertas dan kain perca. Kami bergilir-gilir menungku ayah dengan batu tungku. Kadangkala belakang pijak-pijak.
Pada musim begini ada penjaja yang sanggup datang dari Kg Bongor untuk menjual ikan pekasam atau ikan ‘paih’. Mereka menjunjung bakul yang berisi ikan kecil yang telah digaramkan sambil berjalan kaki dan berkaki ayam. Ikan itu akan digoreng dengan telur. Memang baunya menusuk hidung kerana busuk. Angin yang keluar lagi busuk daripada ikan tersebut. Namun pada musim hujan sangat laris. Boleh dimakan dengan pulut juga. Kg tersebut lebih jauh daripada Kg Jejawi selalu dinaiki air dan berdekatan sungai. Ada antara mereka yang membuat bubu, memukat dan menjala untuk mendapatkan ikan darat. Ikan puyu, ikan haruan, ikan keli memang banyak dijual pada musim hujan.
Aku juga ambil kesempatan bermain air banjir. Sawah padi Pak Mat Jaafar dan milik Tok Ayah Tuan Yib juga selalu digenangi air bila musim hujan. Kawan-kawanku seperti Zaki Ghopa, Ibrahim Tiak, Hadi, Sidi, Mi Mat Daud selalu bermain rakit. Rakit diperbuat daripada batang buluh yang diikat dengan tali rafia. Buluh-buluh disusun secara bertindan-tindan. Boleh dinaiki 3 orang. Dua orang akan berada dalam air untuk menolak rakit tersebut. Sealaunya gunakan galah untuk menolak rakit itu agar bergerak.Airnya tidak berapa dalam. Namun lintah cukup banyak. Kadangkala ada melekat kat celah jari kaki. Celah lutut. Paha dsbnya. Aku memang tidak geli dengan lintah. Satu sahaja yang aku risau takut masuk lubang punggung. Lintah yang kembung akan mula melepaskan gigitan. Bekas gigitan terasa gatal. Kawasan sawah tersebut juga tempat orang mencari belut. Menggunakan buluh. Dalam buluh diisikan umpan berupa nasi dan ikan. Belut memang licin dan menggigit. Sedap jika dibuat sup atau singgang. Namun ibuku memang tidak suka makan belut. Beliau cakap macam ular. Namun bagiku rasanya memang sedap. Seperti ikan keli.
Disebabkan suka main air dan lasak, aku juga selalu kena kudis dan bisul. Kudis penuh di kepala dan kaki. Menurut ibuku rambutku dibotakkan kerana kudis yang banyak. Dulu belum ada ubat seperti sekarang. Sekadar ambil daun kadak. Lenyek-lenyek dan dilumurkan pada tempat yang berkudis. Namun kudis tetap galak membiak di badanku. Sembuh kudis naik pula bisul. Bisul ni selalu tumbuh di tempat yang strategik . Di paha, punggung, lutut dan yang paling menyiksakan berhampiran lubang najis. Bisul yang baru tumbuh tidak bermata. Sehinggalah kembang dan bersinar serta bermata maka sesuailah untuk dipicit. Namun proses memicitnya sangatlah menyiksakan. Ibuku memang cukup geram dengan bisul yang bermata itu. Dipicitnya keluar habis nanah serta darah. Mulutku pula meraung kesakitan. Yang tumbuh berdekatan lubang najis itu lagi menyakitkanku. Tidur pun sambil meniarap dan dicungitkan buntut itu agar lebih selesa. Rakan-rakan yang datang melawat nak tengok pun aku tak sanggup tunjuk. Memang tak tergamak aku nak tunjuk.
Masalah cacing juga menjadi wabak kepada kanak-kanak pada masa itu. Di sekolah ada program makan ubat cacing. Setiap murid beratur dan disuap satu sudu ubat cacing. Ubatnya memang bau semacam. Rasanya memang payau dan pahit. Ada yang dipegang mulut serta dimasukkan ubat cacing secara paksa. Ada yang termuntah-muntah. Habis putih kaki lima sekolah. Misi(nurse) cakap ubat ini untuk bunuh cacing. Pada malam aku rasa nak buang najis tapi sudah larut malam. Bunyi burung hantu pun bersahut-sahutan. Menakutkanku untuk ke tandas di luar rumah. Ibu suruh aku buang di lantai jarang sahaja. Tetiba aku rasa ada sesuatu yang panjang berjolor di lubang najis. Terkejut aku sehingga menjerit “Mek..Ular!” Ibuku terkejut. Dia tanya mana ular? Aku cakap kat lubang punggung. Bukan ular tu cacing!!. Ditariknya kepala cacing yang panjang itu keluar sepenuhnya. Panjang hampir sedepa. Baruku teringat pagi sebelum itu aku makan ubat cacing di sekolah...(bersambung)
No comments:
Post a Comment