Tuesday, April 19, 2016

CATATAN XIII – Hari Raya

Bila tiba hari raya suasana cukup meriah. Sehari sebelum raya dipanggil hari buat ketupat. Hari itu sibuk mencari daun palas yang dijual secara menjaja atau boleh di dapati di Bandar Pasir Mas. Ibuku cukup pandai buat ketupat. Kebolehannya tak dapat diwarisi oleh kami terutama kakak-kakak kami. Ibuku pandai tanak nasi pulut untuk dimasukkan ke dalam sarung ketupat. Daun palas yang dibeli dengan harga 10 sen itu dibuka satu persatu. Daun palas berlipat-lipat. Bila dibuka rupanya besar juga. Kemudianku lihat ibuku menggunakan tangan membuat seperti bentuk kelosong. Lalu memasukkan pulut yang ditanak itu ke dalam daun palas tersebut. Sesudah diikat, ketupat pulut yang bersegi tiga itu dimasukkan dalam kukusan. Bila sudah masak akan diletakkan di dalam nyiru dan diletakkan di atas para di dapur. Ada ketupat tawar dan ketupat manis. Yang tawar disediakan air gula Melaka untuk dicicah. Yang manis kadangkala dimasukkan kacang dan daging. Ketupat yang dah masak berminyak. Jika tiada tisu kami lap pada betis dan seluar. Habis kotor seluar.

Ketupat pulut-Gambar hiasan

Selain itu dibuat tapai beras. Selalunya tapai dimasak dengan dicampur dengan ragi(yis). Beras yang bercampur dengan ragi ini akan dimasukkan dalam daun pisang atau daun pokok getah. Diikat dengan lidi kecil. Dua malam juga untuk menunggu masak. Selalunya ibu simpan bawah katil atau bawah dapur.

Seminggu sebelum raya berkumandang lagu raya seperti ‘Selamat Hari Raya’ oleh M. Jais. ‘Dendang Perantau’ oleh P. Ramlee, ‘Suasana Hari Raya’ oleh Saloma, ‘Seloka di hari Raya’ oleh Anuar dan Elina. Memang lagu-lagu itu cukup evergreen sampai sekarang. Tidak puas mendengarnya. Hari sebelum raya juga memberi debaran terutamanya untuk mendengar pengumuman hari raya pada waktu selepas berbuka puasa. Jika kelihatan anak bulan maka esok sambut rayalah kami. Pada hari buat ketupat juga kami dikerahkan untuk membersihkan halaman rumah, membuang sawan yang berserabut di penjuru tingkat dan siling rumah.

Gambar ketika Hari raya pada 1975

Baju raya dibeli seminggu sebelum raya. Kami ramai-ramai pergi ke Bandar Pasir Mas. Catar kereta Pakchu Hamat. Kebetulan bapa baru dapat gaji. Dalam mencari-cari baju dan keperluan raya, terasa dahaga. Maklumlah bulan puasa. Banyak kuih serta air yang berwarna warni. Yang tak dapat ditemui luar bulan puasa seperti kuih taik itik, bunga tanjung, puteri mandi, jala emas dsb. Air pula macam-macam warna dan jenis. Itu menarik keinginanku untuk berbuka puasa.

Selepas diumumkan bahawa esoknya hari raya kami kegembiraan. Waktu itu tiada mercun seperti sekarang. Takbir raya mula bergema melalui corong radio transistor jenama Philips berkuasa bateri everyday. Kami kegembiraan. Malam itu tidur lewat. Ketupat pun sudah masak. Kami berebut mkn ketupat dicicah dgn nisan(gula Melaka) Manis rasanya. Tapai beras pula belum masak. Ibu cakap masih ‘demam’. Entah apa yang demam.

Kami bangun awal-awal pagi lagi. Kokokan ayam bersahut-sahutan. Ada bunyi nyaring. Ada bunyi bingit. Mcm2 bunyi. Seolah2 bertanding antara ayam -ayam itu. Mandi beramai-ramai kadangkala bapa yang tolong mandikan. Kalau nak cepat, kami duduk belakang bapa sambil dia jirus dari kepala ke badan. Dengan menggosok badan menggunakan sabut kelapa dicampur dengan sabun berbuku, bau jadi wangi. Air pula sangat dingin. Menggigil kesejukan. Timba yang dibuat daripada upih pinang menjadi teman setia ketika mandi.

Sesudah itu kami beramai-ramai ke balaisah untuk menunaikan solat hari raya. . Bapaku menjadi khatib dan imam. Kanak-kanak cukup ramai ke surau. Berpakaian baru. Kebiasaannya Pakchu Hamat akan mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak sesudah solat raya. Gembira sungguh. Bermulalah menjelajah kampung. Selalunya rumah Cikgu Mat kat Pondok Banggol Setol (kubor) menjadi tumpuan. Di kedai itu banyak dijual mercun seperti mercun gasing, bedil tarik, mercun roket. Belum ada lagi mercun yang bunyi kuat seperti sekarang. Duit dihabiskan dengan membeli mercun, gula-gula, belon. Di kedai cikgu Mat juga ada dijual gulale (gula-gula kapas). Sedap dan manis. Ada mesin yang berpusing-pusing dan menghasilkan gula kapas. Menjelang tengah hari baru pulang ke rumah. Makan ketupat dan minum air lemoned cap ayam.

Ibuku menziarahi jiran-jiran yang terdekat. Antara rumah yang dikunjungi ialah rumah mak da aji Yoh, sebelah alik hulu. Cik Timoh Zakaria, alik naik. Rumah maksu Joh alik hilir. Amalan ziarah menziarahi memang menjadi tradisi.

Hari raya pertama sahaja yang meriah. Masuk hari raya kedua sudah hambar. Ramai yang bermula puasa enam. Termasuk ibu dan bapaku. Keadaan kembali seperti biasa. Namun amalan menziarahi masih berjalan. Kami sekeluarga cukup gembira jika pergi Kg laut. Kampung itulah tempat asal bapaku. Waktu itu masih ada Makcik Noh dan suaminya Ustaz Wan Mahmud atau Ayahchik. Orangnya cukup garang. Makcik Nah ada seorang anak perempuan yang sakit. Mengalami demam panas yang teruk. Akhirnya memberi kesan kepada kehidupannya. Sehinggalah umurnya waktu itu 20-an tapi seperti kanak-kanak berumur 2 tahun. Sungguh tabah makcik Nah menjaga anaknya itu. Pernah ibuku ditolak oleh anak perempuannya itu hingga masuk bakul ketika memgandungkan adik bongsuku. Makcik Nah buat perusahaan keropok. Bila pergi ke rumahnya kami sama-sama tolong mengisikan keropok dalam plastik lutsinar. Kemudian hujung plastik dilipat dan dibakar dengan api pelita untuk melekatkannya. Rumah-rumah di kawasan tersebut dibina rapat-rapat. Celah-celah lorong hanya boleh dilalui oleh basikal dan motor sahaja. Kalau musim hujan terpaksa kami mengharung air dan lecah. Satu perkara yang menyeronokkan juga ialah apabila ke Kg Laut, kami dapat menaiki motor air atau kapal kecil dari Kg Laut ke Kota Bharu. Tambang hanya 10 sen pada waktu itu. Sampai di Kota bharu naik beca roda tiga untuk ke stesen Bas SKMK di tengah bandar Kota Bahru. Berjalan-jalan di Kota Bharu sambil makan roti tempayan kuah kambing dekat Stesen Bas SKMK.

Aku juga cukup gembira kerana banyak mendapat duit raya. Tiada sampul seperti sekarang. Ibu nasihatkan aku simpan dalam tabung. Tabung dibuat daripada buluh. Buluh ditebuk untuk membolehkan duit syiling dimasukkan. Kadangkala tin biskut, tin milo juga dapat dijadikan sebagai tabung. Disimpan bawah katil. Namun tidak lama, aku ni jenis pemboros. Selalu ditebuk untuk berbelanja. Orang kemboja menjaja aiskrim menggunakan basikal sambil membunyikan hon yang bergetah bulat dan corong panjang. ‘pooop’, ‘pooop’. Mengejutkan aku daripada tidur. Terutamanya waktu petang. Aku akan memanggil untuk beli aiskrim. Selalunya aiskrim bunjut. Diisikan perisa milo, sirap, asam boi.

Kadangkala Tok Ayah (india muslim, berjanggut, berbaju dan kain putih) menjaja roti dengan basikal tua. Diletakkan bakul bulat dibahagian belakang. Pelbagai roti dijual. Roti kaya ada, roti kosong ada. Waktu kami tiada duit, Tok Ayah bagi kelonggaran untuk menukarkan dengan telur ayam kampung. Pernah abang aku, bawa telur yang sedang dieram. Tok ayah akan menilik telur pada cahaya matahari. Jika ada lembaga(anak ayam) dalam telur maka urusan pertukaran itu terbatal. Kempunanlah nak makan roti kaya yang dijaja oleh Tok Ayah. Ada orang kata, Tok Ayah menjaja ke seluruh negeri dengan mengayuh basikal.

Bila tiba musim banjir...(bersambung)

No comments: