Wednesday, October 29, 2014

SPM MU TUNGGU AKU DATANG...

Apabila dibaca tajuk posting ini berulangkali teringat judul sebuah filem yang diarahkan oleh saudara Piere Andre dan penampilan khas daripada Ustaz Azhar Idrus (UAI) iaitu Ustaz Mu Tunggu Aku Datang..

Namun posting ini tidak berkaitan dengan filem tersebut malah berkisar tentang penantian calon SPM 2014 untuk menduduki peperiksaan yang akan bermula 3 November ini. Memasuki alam persekolahan seawal 6 tahun di tadika, kemudian melangkah ke alam sekolah rendah selama 6 tahun. Meningkat ke sekolah menengah daripada tingkatan 1 hinggalah ke penghujung tingkatan 5..Ini bermakna seseorang calon sudah berada di alam persekolahan selama 12 tahun. Peperiksaan yang akan diduduki nanti adalah kemuncak keberadaan mereka di sekolah. Seumpama pelari olahraga 100m atau 1000m yang sudah menjalani latihan bertahun-tahun untuk menyertai acara di peringkat Asia ataupun Olimpik. Latihan serta input yang diperoleh bertahun-tahun itu seharusnya dijadikan sumber kepada kecemerlangan untuk acara yang terakhir tersebut. Begitulah jua dengan calon SPM.

Admin telah mengambil SPM sekitar tahun 1988 di sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan. Suasana ketika menduduki peperiksaan di sekolah tersebut tidak banyak bezanya dengan di sekolah-sekolah yang lain. Masih ingat lagi pada tahun itu banjir besar berlaku di bandar Kota Bharu. Ini menyebabkan ada beberapa kertas terpaksa ditangguhkan kerana banjir dan menyukarkan calon-calon untuk ke pusat peperiksaan. Bagi kami pelajar-pelajar SBP tidak begitu bermasalah kerana tinggal di asrama dan tidak terlibat dengan banjir kerana kawasan sekolah tersebut agak tinggi dan tidak pernah berlaku banjir.

Calon-calon yang akan menduduki peperiksaan nanti dinasihatkan agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri. Makan dan minum perlu dijaga dengan baik. Yang memiliki motor sikal dengan lesen L itu tidak perlulah nak merempit-rempit di jalanan sambil menunjuk-nunjuk motor yang dipinjamkan oleh bapa ataupun abang. Sebaliknya fokus kepada pelajaran. Mata pelajaran BM dan Sejarah perlu diberi perhatian yang serius. Tanpa kedua-dua mp tersebut maka calon tidak layak untuk mendapat sijil. Apabila tidak mendapat sijil maka tidak layak untyuk masuk kolej. Jika tidak dapat masuk kolej maka terpaksa menduduki peperiksaan itu sekali lagi.

Saya berharap agar calon SPM 2014 ini nanti sudah bersedia dengan secukupnya daripada segi mental dan fizikal. Ibu bapa pun pada waktu ini sentiasa berdoa untuk kejayaan anak mereka. Ada ibu yang sanggup berpuasa pada setiap hari sepanjang anak-anak mereka mengambil peperiksaan. Sesungguhnya cukup mulia pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Bagi anak, balaslah pengorbanan ibu anda dengan sijil yang cemerlang untuk ibu bapa. Sesungguhnya itu sudah cukup untuk membayar segala penat lelah mereka.

Ada pelajar yang menyatakan bapa mereka seolah-oleh tidak menunjukkan emosi seperti yang ditunjukkan oleh ibu. Sebenarnya emosi bapa lebih bergelodak berbanding dengan ibu. Namun itu tidak ditunjukkan kerana bapa ini ada satu sikap iaitu EGO. Namun di belakang anak-anak, bapa ini akan menunjukkan rasa gembiranya dengan menceritakan kejayaan anak-anak di depan kawan-kawan di tempat kerja dan juga di kedai kopi. Ada yang sanggup membelanjakan kawan-kawan walaupun mahal. Untuk menunjukkan rasa gembiranya mereka

Yang pentingnya calon-calon perlu berusaha dan bertawakkal. Anda sudah berusaha dengan sepenuhnya...selebihnya serahlah pada Allah swt dengan melakukan solat hajat yang berterusan. Moga kejayaan yang terbaik akan anda kecapapi.

DO THE BEST.

Tuesday, October 28, 2014

PERISTIWA HIJRAH III

Sememangnya penghijrahan nabi Muhammad SAW dan pengikut baginda ke Madinah merupakan suatu peristiwa yang cukup besar dan bermakna dalam perkembangan Islam. Selama 13 tahun baginda dan orang-orang Islam dihina, disiksa dan dipulaukan oleh kaum Quraisy. Kita tidak lupa dengan tragedi yang berlaku ke atas Sumaiyyah dan keluarga, Bilal b Rabah yang disiksa dengan meletakkan batu bear di atas perut di tengah panas. (Sesiapa yang pernah ke tanah haram pasti merasai betapa panasnya cuaca di sana). Namun ini tidak melunturkan Rasulullah SAW untuk menyebarkan kalimah tauhid kepada orang Quraisy. Sambutan yang menggalakkan terutamanya dalam kalangan hamba abdi dan golongan yang tertindas membuatkan pembesar Quraisy menjadi berang. Oleh itu Umaiyah b Khalaf, Abu Lahab dan lain-lain telah bertindak dengan cukup ganas untuk mendera umat Islam yang nerupakan hamba sahaya mereka pada ketika itu.

Namun begitu, itu bukanlah alasan untuk menyebabkan penghijrahan mereka ke Madinah tetapi adalah atas titah daripada Allah swt melalui surah al-Anfal yang menjelaskan tentang niat orang kafir Quraisy dan telah berkomplot bersama-sama dengan puluhan pemuda daripada pelbagai suku untuk membunuh nabi Muhammad SAW. Tindakan itu diambil setelah mereka berputus asa dengan iltizam nabi Muhammad untuk teruskan usaha dakwah walapun ditawarkan dengan tiga Ta.

Umat ISlam sebenarnya telah berhijrah secara senyap-senyap ke Madinah. Mreka bergerak pada waktu malam. Antara kalangan sahabat baginda, Umar alKhattab adalah antara yang paling berani dengan mengisytiharkan keislamannya dan mencabar orang kafir Quraisy untuk menahan beliau daripada berhijrah ke Madinah. Sebetulnya orang Quraisy tidak berani berdepan dengan Umar kerana beliau merupakan orang yang cukup 'gedeber' sewaktu bersama-sama dengan orang Quraisy. Dan sikap itu terbawa-bawa sehingga beliau memeluk Islam.

bersambung....InsyaAllah

Monday, October 27, 2014

WAJIB BACA! CARA MENGHILANGKAN CINTA PERTAMA

Rasa cinta tidak mudah dihapuskan.

Apatah lagi cinta pertama. Hal ini memang menyesakkan apabila kita kita berusaha mengatasinya. Apabila bayangannya kembali dalam memori, bahkan sering menghantui mimpi-mimpi.

Malah peluang bersanding juga sudah tiada lagi, apa yang harus dilakukan? Menangis? Bersedih? Menyesali perkara yang terjadi? Berasa tertekan, sakit hati, kecewa, bahkan berasa mahu membunuh diri? Saya yakin, hal itu tidak akan kita lakukan.

Mari kita hilangkan rasa kesal yang tiada guna dan kekecewaan tanpa makna. Memang mudah diucapkan, tetapi bagaimana sekiranya bayangannya masih hadir dan mengganggu aktiviti harian? Padahal, kita sudah berusaha membuangnya jauh daripada kehidupan.

Abdullah bin Mas’ud menasihatkan,

“Apabila kamu kagum kepada seorang wanita (atau lelaki), ingatlah semua kekurangannya.”

Maaf, ini bukannya tajassus atau mencari aib dan mengorek kekurangannya. Ini adalah nasihat supaya kita tidak dipermainkan oleh pesona hati, dan tidak dibuai oleh gelojak nafsu sehingga menjadi permainan syaitan.

Kadangkala, cinta membuatkan mereka yang celik menjadi buta, mereka yang punya telinga menjadi tuli, serta mereka yang mempunyai hati menjadi alpa dan tidak merasa.

Lihat mereka yang sedang asyik berpacaran, biasanya mereka tidak lagi mempedulikan keadaan sekeliling. Walaupun dilihat oleh orang ramai, mereka sengaja berpura-pura tidak mempedulikannya. Telinga mereka utuh dalam menerima pelbagai teguran dan kritikan.

. Tidak lagi mahu diganggu bayangan wajahnya

Ya, sekiranya tidak mahu lagi diganggu oleh bayangan wajahnya, sentiasa ingat pada kekurangannya. Kita lebih tahu memilih dan mengungkap kata-kata demi matlamat itu. Tidak perlu disampaikan pada dirinya, cukup dalam hati sahaja. Walaupun sebenarnya tidak baik memandang remeh kepada orang lain, namun tujuannya supaya kita tidak leka dan terseksa oleh bayangan wajahnya, dan tidak dipermainkan nafsu yang menggunakan nama cinta.

Kita juga tidak terbuai oleh penipuan si durjana. Kuburkan semua kenangan masa silam, dan jangan mengungkit lagi supaya tidak timbul kesedihan.

Tuliskan diatas sehelai kertas..

Sekiranya kita masih sukar melupakan dia, tulis sahaja namanya pada sehelai kertas. Koyak kertas itu dan katakan kita sudah melupakan dirinya dan membuang jauh bayangan wajahnya. Ini bukan bagi menunjukkan rasa benci, dengki, apatah lagi dendam. Kita melakukan begitu supaya kita tidak mahu hanyut dalam kesedihan, tidak terseksa dalamkekecewaan, dan supaya kita dapat segera melupakannya. Sekiranya tidak, bayangannya akan sentiasa hadir dalam kehidupan kita, menghantui setiap mimpi, dan mengganggu setiap langkah. Pasti kita tidak mahukan begitu, bukan?

Melupakan Kebaikan si dia..

Saya tidak bermaksud menyeru kita menjadi naïf, tidak membalas budi, apatah lagi tidak berterima kasih. Secara logiknya, kebaikan seseorang memang perlu dikenang.

Namun tujuan kita melupakan kebaikan mereka adalah supaya kita tidak dipermainkan oleh bayangan wajahnya, supaya kita tidak berasa, dirinya adalah insan terbaik dan satu-satunya untuk kita. Dan supaya kita kita tidak mengganggap dia sebagai putera atau bidadari yang tiada tolok bandingnya. Sehinggakan apabila kita tidak berjaya mendapat cinta dan tidak bernikah dengan dirinya, kita mengalami kekecewaan yang luar biasa. Seolah-olah hilang semuanya.

Ingat, dia juga manusia biasa seperti kita. Allah yang menetapkan takdir supaya dia berbuat baik kepada kita. Walaupun dia pernah memberikan nasihat berharga, buku-buku, ataupun barang-barang yang sering kita ertikan sebagai tanda cinta dan setia. Namun sekiranya kemudian, sekiranya perpisahan terjadi, anggap semua itu pemberian biasa daripada seorang manusia kepada manusia yang lain. Hanya seperti sahabat yang mahu mengukuhkan tali persahabatan dengan memberi hadiah.

Sekiranya hadiah ataupun barang yang dia beri menjadikan kita terseksa dan sukar melupakan dirinya, lebih baik musnahkan semua barang itu. Ada kalanya terasa berat melupakan dia yang pernah menembus dinding pertahanan hati. Ini mungkin kerana kebaikannya masih terus membayangi langkah kita.

Kadangkala dunia menjadi sempit bagi mereka yang mengalami rasa kecewa dan patah hati, sehinggakan apa-apa yang terhampar di hadapan, tidak dirasakan, Gunung yang tinggi menjulang, terasa rendah, Langit yang luas terbentang, terasa sempit. Apa yang ada hanya bayangan wajahnya. Padahal dia adalah orang yang kita anggap sebagai kekasih hati sehidup semati, hanya daripada makhluk Allah s.w.t yang sudah ditakdirkan untuk berbuat baik kepada kita. Sudah tertulis dalam takdirNya, dia berbuat begitu.

Adakah salah sekiranya kita terus mengenang semua kebaikan dia? Tentu tidak salah.

Tetapi, sekiranya kita bertekad melupakan dia, lupakan juga kebaikan-kebaikan yang dia lakukan. Apa ertinya kata-kata ‘Saya mahu melupakan awak’, tetapi tiada kesungguhan kearah itu. Apa ertinya berusaha membuang jauh bayangan wajahnya, tetapi foto-fotonya masih kita simpan, surat-surat, dan mesej daripada dia masih kita jadikan koleksi.

Begitu juga dengan semua pemberian daripada dia.

.

Jangan membatasi diri pada satu nama

Jangan membatasi diri hanya pada satu nama, iaitu orang yang kita rasa suka dan yang kita cintai. Sedangkan orang yang sudah meminang ataupun dipinang pun tidak dijamin menjadi jodoh terbaik. Inikan pula orang yang hanya muncul dalam istikarah atau hanya sekadar kita curi-curi pandang. Kita tidak akan tahu sebab-musabab Allah menetapkan begitu. Tetapi yang pasti, semua ketetapan Allah itu mempunyai hikmah dan kebaikan kepada kita, sama ada kita sedar atau tidak. Kita perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi semua kemungkinan. Semuanya perlu dipersiapkan, termasuk persiapan mental. Kita perlu bersedia menghadapi perkara yang bercanggah dengan harapan. Luqman Al-Hakim berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya ada sesuatu menimpamu, sama ada kamu suka ataupun benci, katakana dalam hatimu, itu adalah yang terbaik untukmu..’ Allah s.w.t menjamin akan memenuhi apa yang dipilih untuk kita, bukan apa yang kita pilih untuk diri sendiri, dan pada waktu yang Dia tentukan, bukan pada waktu yang kita mahukan.

Penutup: Pertemuan Yang Menyimpan Hikmah.

Allah tidak pernah lalai. Pertemuan kita dengan dia pasti ada ibrah atau pelajaran berharga. Antaranya: Pertama, kita tidak dibenarkan memutuskan ukhwah dengan dia. Oleh itu, berusaha untuk bersikap wajar dan seimbang. Kedua, Allah mahu melatih mental kita untuk bersedia menghadapi reality Bukankah pertemuan menjadi seksaan batin apabila tidak dihadapi dengan hati yang dingin? Bukankah perjumpaan membuatkan hati mendidih, wajah pucat, kurang keyakinan diri, bahkan rasa malu yang berlebihan, terutama pada mereka yang dikecewakan? Lantas, adakah kita perlu memalingkan wajah, bersikap acuh tidak acuh, dan kasar? Bukankah Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan, dan Rasulullah s.a.w juga orang yang lemah lembut? Cubalah bersikap wajar, tenang dan seimbang. Jangan berasa lemah dan rendah, walaupun seakan-akan kamu kehilangan muka, dan tidak berharga di hadapan dia. Setiap orang melalui masa silam yang berbeza. Ada yang menyenangkan sehingga membuatkan kita tersenyum apabila mengenangnya. Ada pula yang menyakitkan ataupun memalukan sehingga membuatkan kita berasa resah, rendah diri, sedih, bahkan marah dan geram apabila tiba-tiba terkenang kembali. Jadikan masa silam sebagai kenangan. Tidak perlu lagi bersedih apabila mengingatinya. Semuanya telah berlalu pergi seiring dengan bergantinya waktu. Jadikan masa kini sebagai kesempatan bagi mengukir mimpi, meraih prestasi, dan mengoptimumkan potensi yang kita miliki. Jadikan masa depan sebagai sasaran yang menyimpan sejuta harapan. Tegakkan kepala

Pada waktu kita berjumpa dengan dia, walaupun terlintas perasaan malu, rendah diri, bahkan jengkel – jangan berasa diri kita rendah dan lemah! Tegakkan kepala, dan yakini betapa setiap kejadian termasuk pertemuan kita dengan dia, pasti ada hikmah yang berharga. InsyaaAllah. Semoga kamu terus kuat saudara-saudaraku! :’)

RUJUKAN : JAMBUBATU

PERJALANAN HIDUPKU

Peristiwa Hijrah II

Sambungan...

Tidak lama kemudian baginda Rasulullah saw telah didatangi sekumpulan penduduk Madinah daripada Bani Aus dan kazraj

Latar Belakang

Madinah sebelum berlakunya peristiwa hijrah dikenal sebagai Yathrib. Dikatakan bahawa bapa baginda Rasulullah saw telah wafat di kota Yathrib ketika baginda masih dalam kandungan ibu iaitu Aminah binti Wahab.Di Madinah, terdapat 3 golongan masyarakat iaitu kaum Arab yang terdiri daripada dua suku kaum iaitu Bani Aus dan Bani Kazraj. Kedua-duanya saling bermusuhan dan bertelingkah antara satu sama lain. Yang keduanya ialah Kaum Yahudi yang terdiri daripada Bani Quraizoh, Bani Nadir dan Bani Qunaiqa'. Kaum Yahudi telah menguasai segala aspek ekonomi di Madinah. yang ketiganya ialah kaum Nasrani dan mereka ini merupakan minoriti

Sememangnya Aus dan Kazraj ini banyak mendapat info tentang kenabian nabi ini daripada kaum Yahudi. Pengkisahan tentang kelahiran nabi di akhir zaman telah diriwayatkan melalui kitab Injil tentang kelahiran nabi akhir zaman iaitu dikenal sebagai Ahmad. Namun begitu kelahiran ini bukannya dalam kalangan kaum Yahudi tetapi kaum Arab. inilah yang menyebabkan mereka cuba untuk menyembunyikan kebenaran tentang kenabian dan kerasulan nabi Muhammad saw. Ciri-ciri fizikal, perawakan dan keperibadian memang diketahui oleh pendeta Yahudi. Sehinggakan mereka mengaku bahawa lebih mengenali nabi Muhammad saw berbanding anak mereka sendiri. Namun begitu perkara ini telah diketahui oleh orang Arab Aus dan Kazraj. Oleh itu mereka secara rahsia dan berasingan telah menghantar utusan seramai 12 orang ke Makkah pada tahun ke12 selepas kenabian untuk menemui insan yang telah diceritakan oleh orang Yahudi tersebut.

.

Masjid Nabawi di Kota Madinah al-Munawwarah

Apabila mereka sampai ke Makkah mereka telah melihat secara dekat insan yang bergelar Rasulullah dan sememangnay benar daripada apa yang diceritakan oleh Pendeta Yahudi melalui kitab mereka. Oleh itu tanpa berlengah lagi mereka telah menemui Rasulullah saw dan berjanji untuk beriman kepada Allah swt, mengaku taat setia kepada nabi Muhammad saw dan meninggalkan amalan jahiliyah yang mereka amalkan sebelum ini melalui Perjanjian Aqabah Pertama.

Sejurus itu Rasululullah saw telah mengutuskan Mus'ab b Umair untuk ke Yathrib bagi menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwah kepada orang Arab di sana. Tahun berikutnya bani Aus dan Kazraj telah mengunjungi nabi sekali lagi untuk mengikat setia yang dikenal sebagai Perjanjian Aqabah kedua. Melalui Perjanjian ini orang Arab Madinah bersetuju untuk mengukuhkan lagi kesetiaan kepada nabi Muhammad saw, menjemput nabi Muhammad saw dan umat Islam Makkah ke Madinah serta sanggup memyediakan tempat tinggal di Madinah.

Secara jelasnya perjanjian Aqabah kedua ini adalah satu asas yang cukup kukuh untuk berlakunya hijrah ke Madinah. Hal ini suatu hujah yang cukup kuat untuk menolak momokan orientalis barat yang menuduh penghijrahan ke Madinah merupakan satu pelarian

bersambung...

Sunday, October 26, 2014

Peristiwa Hijrah

Hijrah dalam bahasa arab ialah berpindah. Namun dalam konteks Islam ialah perpindahan umat Islam dari Makkah ke Kota Madinah dengan tujuan untuk menyebarkan dan memperkukuhkan Islam. Hijrah itu juga suatu perubahan daripada kemunduran kepada kemajuan, daripada kesesatan kepada kebenaran dan pelbagai istilah yang digunakan sekarang.

Peristiwa hijrah yang membawa Nabi Muhammad saw serta pengikut baginda ke MAdinah adalah suatu rentetan kisah yang cukup hebat. Apatah lagi ruang berdakwah telah semakin sempit setelah kematian dua orang yang merupakan pendokong kuat baginda iaitu bapa saudara baginda Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu saiditina Khadijah r.a.

Semenjak itu umat Islam mendapat tekanan yang sungguh hebat. Apatah lagi boikot atau pemulauan yang dilakukan oleh orang Arab Quraisy terhadap keluarga Bani Hashim. Kita sedia maklum bahawa bani Hashim ini bukan semuanya Islam tetapi telah dipulau sama ada dalam hal ehwal jual beli, perkahwinan, serta urusan lain-lain. Namun begitu tempoh pemulauan tidak lama apabila surat pengumuman boikot itu telah musnah dimakan anai-anai yang telah digantung di dinding kaabah.

Tidak lama kemudian nabi Muhammad saw bersama dengan Zaid b. Harithah iaitu anak angkat baginda telah keluar ke Taif untuk menyebarkan agama yang suci ini. Namun begitu masyarakat di sana bukan sahaja tidak menerima malah membaling batu sehingga mencederakan baginda. Peristiwa ini telah menarik perhatian Jibrail untuk meminta izin daripada Rasulullah saw bagi menghukum masyarakat Taif. Namun dengan sifat kemuliaan baginda yang mengharapkan generasi mereka seterusnya akan menerima ajaran Islam maka hasrat Jibrail itu tidak terlaksana. Lihatlah betapa mulianya baginda serta mempunyai wawasan yang tinggi terhadap masa depan agama yang disebarkan ini.

Kemudian umat Islam telah diperintahkan untuk melakukan hijrah ke Habsyah ataupun Ethiopia sekarang. Pada awalnya hanya 15 orang sahaja yang menyertai hijrah ini. Tempat itu dipilih kerana pemerintahnya menganut agama samawi iaitu Nasrani. Sekurang-kurangnya beliau dapat memahami ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad saw. Penghijrahan ini tidak disertai oleh baginda Rasulullah saw sebaliknya hanya dihantar beberapa orang delegasi termasuklah Jaafar b Abu Talib dan diketuai oleh Uthman b Makhzun ke Habsyah.

Sebahagian mereka diarahkan berhijrah ke Habsyah (sekarang Ethopia).pelbagai peristiwa silih berganti berlaku Selepas itu Quraisy berusaha pula untuk membawa balik sahabat-sahabat Rasulullah Saw yang berhijrah ke Habsyah. Mereka menghantar dua orang wakil kepada Najasyi iaitu Abdullah bin Abi Rabea'h dan A'mru bin A’sh. Mereka membawa barang-barang yang diperbuat dari kulit kerana itulah hadiah yang paling disukai oleh Najasyi.

Mereka juga telah menyiapkan hadiah untuk penasihat-penasihat Najashi. Sebelum mereka mengadap Najashi mereka terlebih dahulu memberi sogokan kepada penasihat-penasihat Najashi dengan hadiah-hadiah yang mereka bawa. Mereka membisikkan tujuan mereka kepada penasihat-penasihat Najasyi. Mereka datang untuk membawa balik kaum mereka yang melarikan diri ke Habsyah. Jumlah umat Islam yang berhijrah ke habsyah sudah meningkat 100 orang. Kata mereka, "Orang-orang yang melarikan diri ini telah menolak agama kami dan juga menolak agama kamu. Oleh itu kami ingin meminta Najasyi menyerahkan kembali mereka semua kepada kami untuk kami bawa mereka pulang ke Mekah."

Selepas itu barulah Abdullah dan A'mru bertemu dengan Najasyi. Mereka mempersembahkan hadiah-hadiah yang dibawa kepada Najashi. Ini membuatkan Najasyi gembira menerima kunjungan mereka. Setelah itu barulah mereka menerangkan tujuan kedatangan mereka kepada Najasyi. Kata Najasyi: "Setelah aku mendengar dari pihak kamu, aku mesti juga mendengar dari pihak mereka iaitu orang- orang Islam." Najasyi memanggil semua orang Islam yang berada di Habsyah hadir ke istananya.

Mereka semua pun datang mengadap Najasyi diketuai oleh Saidina Ja’afar bin Abu Talib. Najashi bertanya kepada mereka, "Apa sebenarnya cerita kamu? Apa agama baru yang kamu bawa itu?" Maka jawab Saidina Ja’afar, "Dulu kami menyembah berhala, kami memakan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bersengketa sesama sendiri, kami memutuskan silaturrahim dan kami menyakiti orang lain. Selepas itu datang kepada kami seorang lelaki dari kaum kami. Dia orang yang paling mulia di kalangan kami membawa agama dari Allah, Tuhan sekalian alam. Dia mengajak kami menyembah Allah yang Maha Esa dan mengajak kami meninggalkan berhala dari batu-batu yang tidak boleh memberi manafaat atau mudharat itu. Dia mengajak kami supaya berkasih sayang dan berakhlak mulia. Dia mengajak kami meninggalkan maksiat dan dosa."

Saidina Ja’afar telah berjaya menerangkan Islam secara ringkas tetapi jelas kepada Najasyi bahawa amalan Islam itu semuanya amalan yang mulia dan terpuji. Najasyi senang hati dan gembira mendengar penerangan dari sepupu Rasulullah saw ini. Najasyi bertanya lagi, "Apakah ada pada kamu apa-apa yang dibawa oleh lelaki itu?"

Saidina Ja'afar membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada Najasyi yang menceritakan tentang Nabi Yahya dan Nabi Zakaria dari Surah Maryam. Setelah Saidina Ja'afar selesai membacanya, Najasyi berkata: "Demi Allah! risalah ini dan apa yang dibawa oleh Nabi Isa adalah dari sumber yang satu."

Najasyi sangat terkesan dengan ayat-ayat ini. Dia mendapati apa yang dibawa oleh Al-Quran sama dengan apa yang ada padanya. Najasyi ini juga seorang Ulamak dalam agama Nasrani. Najasyi memerintahkan agar dibenarkan orang orang Islam terus tinggal di bawah pemerintahannya di Habsyah. Kata Najasyi kepada orang-orang Islam, "Aku sekali-kali tidak akan menyerahkan kamu kepada musuh-musuh kamu."

Maka Abdullah dan A'mru bin Ash terpaksalah meninggalkan istana Najasyi bersama dengan tangan yang kosong dengan perasaan malu dan kecewa. Namun A'mru bin Ash ini yang terkenal dengan kecerdikan dan kelicikannya dalam diplomasi telah berpatah balik meminta izin untuk mengadap Najasyi semula. A'mru berkata kepada Najasyi, "Wahai Najashi, orang-orang yang kamu lindungi ini menghina Nabi Isa dan mereka mengatakan terhadap Nabi Isa perkataan yang kamu pasti tidak boleh menerimanya. Maksudnya orang Islam tidak mengatakan bahawa Nabi Isa itu anak Tuhan." Najashi bertanya: "Apa yang mereka katakan itu?" Kata Amru, "Tuanku tanyalah mereka sendiri."

Najashi mengarahkan supaya dipanggil semula orang-orang Islam. Najashi bertanya mereka: "Apa yang kamu katakan tentang I'sa bin Maryam?" Saidina Ja'afar menjawab soalan Najashi ini dengan membaca ayat-ayat Al- Quran berikut:

واذكر في كتاب مريم إذإنتبذت من أهلها مكانا شرقيا فاتخذت من دونهم حجابا فأرسلنا إليها روحنا فتمثل لها بشرا سويا, قالت إني أعوذ بالرحمن منك إن كنت تقيا, قال إنما أنا رسول ربك لأهب لك غلاما زكيا, قٌالت أنى يكون لي غلام ولم يمسسني بشر ولم أك بغيا, قال كذلك قال ربك هو علي هين ولنجعلك أية للناس ورحمة منا وكان أمرا مقضيا….... ذلك عيس ابن مريم قول الحق الذي فيه يمترون, ما كان لله أن يتخذ ولدا سبحانه, إذا قضى أمرا فإنما يقول له كن فيكون

Terjemahannya : Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, tatkala ia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka, maka Kami hantarkan kepadanya Ruh dari Kami, lalu ia menjelma kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalau kamu seorang yang bertakwa. Dia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyampaikan khabar bahawa kamu akan dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan memperoleh seorang anak lelaki padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun dan aku pula bukanlah perempuan yang jahat. Dia menjawab: "Demikianlah keadaannya, tak usahlah dihairankan. Tuhanmu berfirman: "Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai suatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya."……………….Yang demikian sifat-sifatnya itulah 'Isa bin Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu dan berselisih padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila Dia menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanya Dia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia." (Maryam: 16-35

Apabila Saidina Ja'afar selesai membaca ayat-ayat itu, Najasyi terus bertakbir. Najashi telah membenarkan apa yang diperkatakan oleh Al-Quran tentang Nabi Isa as. Terkejutlah para penasihat Najasyi dari kalangan pendita Nasrani kerana mereka meyakini bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan. Najasyi berNajasyi melepaskan semula orang-orang Islam dan selepas itu Najasyi selalu memanggil Saidina Ja'afar mengajarnya tentang Islam. Akhirnya Najasyi beriman kepada Rasulullah saw tetapi dia telah merahsiakan keislamannya.

Para penasihatnya yang merupakan ulamak-ulamak Nasrani yang tidak senang dengan pendirian Najasyi terhadap Nabi Isa telah berjaya mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan Najasyi. Berlakulah peperangan diantara tentera Najasyi dan pemberontak-pemberontak ini. Peperangan ini berlaku berdekatan dengan sebuah sungai, dikatakan sungai itu adalah sungai Nil. Orang-orang Islam tinggal diseberang sungai. Dari jauh mereka dapat melihat peperangan itu tetapi mereka tidak mengetahui siapakah yang menang.

Mereka telah menghantar Saidina Zubair bin A'wam menyeberang sungai untuk memerhati peperangan itu. Sekiranya Najasyi menang selamatlah orang Islam di Habsyah tetapi sekiranya Najasyi kalah, orang-orang Islam di Habsyah akan menghadapi masalah. Alhamdulillah Najasyi telah menang dalam peperangan itu. Para Sahabat turut bergembira dan bersyukur di atas kemenangan ini.

Najasyi telah istiqamah berpegang dengan agama Islam sehinggalah dia meninggal dunia. Ketika Najasyi meninggal dunia, Jibril telah datang memberitahu Rasululah saw. Lalu Rasulullah saw dan para sahabat melakukan sembahyang ghaib kepada Najasyi. Imam Bukhari ada meriwayatkan satu hadis dari Saidina Jabir. Sabda Rasulullah saw pada hari kematian Najasyi : ( ( مات اليوم رجل صالح فقوموا فصلوا على أخيكم أصحمة. Terjemahannya, "Telah meninggal dunia pada hari ini seorang lelaki yang soleh maka bangunlah dan sembahyanglah ke atas saudara kamu Ashamah (namanya Ashamah)."

Setelah itulah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah saw dan dalam sejarah umat Islam. Menurut Imam Nawawi, peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab tahun keduabelas selepas kenabian.

bersambung...

rujukan

suara muhajirin

Tuesday, October 21, 2014

POKOK SEMALU

Orang katà jadilah pokok semalu. Pabila disentuh tunduk dan menguncup. Tidak berapa lama akan kembali ke asal. Sewaktu aku kecil dulu cukup suka bermain dengan pokok tersebut yang juga Dikenal sebagai Mimosa Pudica. Namun demikian durinya amat menyakitkan jari jika tersentuh duri pada pokok tersebut.
Falsafahnya di sini : Kita hendaklah bersifat malu secara bertempat. Pada ketikanya kita boleh menzahirkan perasaan malu tetapi jika berada di dalam kelas buang sifat malu untuk bertanyakan soalan kepada guru. Hindarkan perasaan yang bermain di dalam benak masing-masin seperti "Takut salah" atau " Takut ditertawakan oleh kawan-kawan jika salah".
Segarkan minda ubahlah sikap..selamat menghadapi peperiksaan SPM 2014
http://shafiqolbu.files.wordpress.com/2013/01/pokok-semalu.jpg

Sunday, October 19, 2014

Antara Blog yang Terbaik ...

Berikut adalah 21 blog terbaik yang dibuat tinjauan oleh Saudara Faizal Fadzley melalui blog beliau
9Gag
Azuan Zahdi
Khairuddin Lim
Naramas Aman
Kaki Berangan
Time Travel
Denaihati
Kujie2
Eryqazz
Hasrul Hassan
Azfar Roslan
Ariff Shah
En. Titan
Hami Asraff
Nick Nashram
Eqbal Zack
Amanz
Namee Roslan
Joe Grimjow
Ben Ashaari
Kereta Mayat

Dialog antara Pemadam dan Pensel

Perbualan antara pemadam dan pensil :
Apa khabar kawan?
Aku bukan kawanmu.
Kenapa?
Kerana aku benci kamu.
Kenapa engkau membenci aku?
Kerana engkau suka padam apa yang aku tulis
Aku tidak padam melainkan yang salah!
Kenapa engkau sibuk?
Aku pemadam, ini kerjaku
Ini bukannya kerja!
Kerja aku bermanfaat, macam kerja engkau jugak.
Engkau salah dan sombong!
Kenapa?
Kerana yang menulis lebih baik dari yang memadam.
📏Memadamkan kesalahan sama seperti menulis yang benar.
Pensil terdiam seketika, kemudian mengangkat wajahnya: Engkau benar sahabatku!
📏Engkau masih bencikan aku?
Aku tidak akan benci orang yang memadamkan kesalahanku
📏Dan aku juga tidak akan memadamkan sesuatu yg betul
Tapi aku lihat engkau semakin kecil dari sehari ke sehari
!
Kerana aku mengorbankan sebahagian dari tubuhku setiap kali aku memadam kesalahan.
Aku juga merasakan bahawa aku semakin pendek dari sehari ke sehari.
Pemadam memujuk:
Kita tidak akan dapat memberi faedah kepada orang lain melainkan kita sanggup berkorban untuk mereka.
Pensil berkata dengan gembira: Betapa mulianya engkau sahabatku, alangkah indahnya kata-katamu.
Pemadam dan pensil berasa gembira, lalu mereka pun hidup sebagai sahabat baik, tidak berpisah dan tidak berselisih faham.
Sahabat-sahabatku sayang
Kenapa kita tidak berterimakasih terhadap orang yang memadamkan kesalahan kita dan menunjukkan kita jalan kebenaran, tidakkah mereka berhak terhadap ucapan terimakasih?
Moral dari cerita ini juga.
Jadilah diri kita ini seperti pensil. Menulis yang berguna dan dapat manfaatkan untuk orang yang membaca.
Apabila tumpul ia perlu diasah. Sakitnya diasah itu seperti cabaran hidup yang kita hadapi dan usia kita juga seperti pensil. Semakin lama semakin pendek.
Oleh itu manfaatkan kehidupan kita dengan sebaik-baiknya

Saturday, October 18, 2014

Catatanku: No Money No Talk?

Ya,duit bukan segala-galanya tapi segala-galanya memerlukan duit. Duit, duit di mana kau duit?
Ayah aku kata "Kau nak buat apa simpan duit banyak-banyak bukan boleh bawak masuk kubur pun." *Maksud ayah aku dekat sini, kau kalau ada duit banyak pun, kalau kedekut tak guna jugak. Kalau ada duit banyak pun tak bersedekah tak guna jugak. Kau ada duit banyak pun tapi hati kau tak tenang, no point la duit banyak.*
Aku tak kata semua orang yang banyak duit ni kedekut, tapi ada segelintir, yang kita memang dah jelas, bila bab duit saja, tanya soalan macam apa je. Segelintir jugak, bila duit banyak, akan rasa tak cukup, tak cukup dan tak cukup. Sebab apa? Sebab kehendak diri makin tinggi. Yela, tau dah banyak duit, macam-macam lah kita nak beli. Nak beli itu, nak beli ini, nak buat itu, nak buat ini. Sebab itu, duit yang ada kita rasa macam air mengalir. Bila kita tau duit tak banyak, baru kita akan fikir 80 kali nak beli itu ini, nak buat itu ini. Aku tak kesah dan tak marah pun orang yang berduit tu nak buat itu, nak buat ini. Hak korang, duit korang, suka hatilah korang nak buat apa kan. Itulah dinamakan sebagai NAFSU
Ini apa yang aku rasa bila aku ada duit:
1) Aku rasa, nak tukar handphone baru. 2) Aku rasa, nak tkar tayar kereta. 3) Aku rasa, nak beli runmah satu lagi. 4) Aku rasa nak beli gajet2 yang berada di pasaran! 5) Aku tak dapat nak senaraikan lagi...
Kehendak diri memang banyak, tapi tak semua yang kita boleh lunaskan. Kita ada tanggungjawab. Once dah ada duit, kita memang nak menyimpan, tapi kenapa tak boleh? Sebab :
1) Nak bayar kereta. 2) Nak bayar motor. 3) Nak bayar rumah. 4) Nak bayar minyak/ tol. 5) Nak shopping/ make up kereta. 6) Nak makan/ minum. 7) Nak bagi parents. (Sila bagi walau sedikit duit gaji korang kat mak bapak ye.Nak dapat berkat. Mak bapak redha, baru Allah redhai hidup kita. Itu formula utama.) 8) Nak bagi anak-anak duit poket. 9) Nak tulis lagi, banyak sangat rasanya.
Aku tak marah kalau ada yang nak berbisnes untuk jana pendapatan lain, tapi jangan ambil untung tinggi sangat. Nak cepat kaya? Orang lain pun buat macam tu. Paling penting, jangan aniaya orang lain. Kadangkala harganya melampau-lampau mahalnya..haish!
Nak cepat kaya untuk apa? 1) Nak pergi buat Haji/ Umrah (Alhamdulillah) 2) Nak senangkan mak bapak (Alhamdulillah) 3) Nak derma dekat rumah anak yatim (Alhamdulillah) 4) Nak tolong derma kat GAZA (Alhamdulillah) 5) Nak berzakat (Alhamdulillah) 6) Nak wakaf/infaq harta (Subhanallah, Alhamdulillah...syabas!)
Tapi nak cepat kaya untuk apa?
1) Nak ubah taraf hidup. 2) Nak kahwin lagi.Hihi ini org pompuan tak suka nih 3) Nak sambung belajar lagi. 4) Nak beli kelengkapan rumah. 5) Nak beli barang anak-anak.
*Semua ni boleh, tapi tak jadi kaya pun tak apa kan. Bersederhana itukan lebih mudah. Bukan semua orang pandai menguruskan duit. Serius! Aku mengaku, aku pun tak pandai nak urus duit. Kadang pakai 'boo' je beli. Tu yang kadang-kadang terjadi pembaziran. Siapa tak nak jadi kaya? Semua orang pun selalu berangan nak jadi kaya. Nak duduk rumah besar, nak pakai kereta besar, nak pakai emas banyak-banyak, nak ada syarikat yang untung berjuta-juta. Gila kau ada orang tak nak kaya? Aku pun pernah gak berangan nak jadi kaya. Tapi bila tengok kesan daripada orang yang melupakan akhirat dan mengejar dunia, aku jadi takut pulak nak kaya. Jadi kaya ni banyak gak risikonya. Jadi aku delete habis dalam otak aku nak jadi kaya raya. Aku dah cukup bebas dengan apa yang aku ada sekarang. Dah jadi cikgu pun sangatlah bersyukur. Dapat mendidik anak bangsa.. Tapi aku percaya, rezeki Allah itu ada di mana-mana. Jangan risau! Allah sentiasa tolong kita. Dengan syarat, letakkan keyakinan setinggi-tinggi pada-Nya. Jadi aku memang tak perlukan duit yang terlalu-lalu banyak. Nanti ada pulak yang kata aku ni tak ada motivasi diri la, tak ada 'aim' dalam hidup la, tak nak majukan diri langsung lah. Sampai bila nak hidup macam nilah. Tapi sebagaimana orang yang ada duit ni cakap "aku ada duit,suka hati akulah,duit aku, bukan duit kau." Macam itulah jugak aku, "selagi tulang empat kerat ni boleh aku guna nak cari rezeki, aku gunalah. Aku takda duit sekarang, tak semestinya sampai mati aku takkan ada duit." Perancangan masa depan amat berkait rapat dengan duit. Tak ada duit tak boleh :
1) Sambung Belajar.
2) Kahwin. (yang belum kahwin, terutamanya kaum lelaki. Selalu sangat kaum Adam dimomokkan oleh keluarga kaum Hawa dengan istilah "hang takda duit, jangan berangan nak dapat anak aku.") *aku harap, takda duit, bukan alasan untuk setiap pasangan itu tak bernikah.*
3) Sara isteri/ anak.
4) Hidup senang.
5) Beli kereta/ rumah.
Maksud dia macam ni, walaupun duit tak boleh masuk kubur, tapi kita kena menyimpan untuk anak-anak kita satu hari nanti. Hutang adalah sesuatu yang sangat digeruni semua orang, tapi bila dah pandai pinjam, kena pandai bayar. Kalau mati dalam berhutang, roh kita akan tergantung di antara langit dan bumi. Na'uzubillah. Meaning kita tak akan tenang. Janganlah hidup di dunia tak tenang, dah mati tak tenang, akhirat pun tak tenang.
Nak cepat kaya untuk apa?
1) Beli kereta baru yang lagi mewah.
2) Beli rumah besar yang lagi luas.
3) Beli handphone yang lagi canggih.
4) Beli barang yang berjenama.
5) Beli emas banyak-banyak.
6) Kumpul harta
.
*Kalau di atas ini penyebabnya, oh sungguh rugilah kamu. Aku tak cakap tak boleh nak buat semua tu. Boleh sangat. Tapi kena usaha, guna cara paling bersih. Bukan dengan cara kotor untuk mudah dapat duit. Itu tak betul. Buat semua itu untuk siapa? Diri sendiri atau keluarga? Dua-dua, kerja keras demi keluarga. Ada juga untuk diri sendiri. Tapi untuk keluarga itu untuk siapa ya? Merangkumi mak bapak tak? Kalau ada, alhamdulillah. Tapi di dunia akhir zaman ni, aku tertanya-tanya, berapa nisbah dalam 100 orang? Aku tulis ini, bukan aku nak kata aku tak perlukan duit, aku nak tunjuk baik, or apa-apa saja persepsi korang pada aku lepas ni. Duit memang penting, tapi jangan sampai jadi hamba pada duit.
Buat masa ini, aku boleh lagi hidup tanpa berkereta mewah, berumah besar, berduit banyak, berbeli barang berjenama, beremas bagai penuh satu badan. Iklan jap ~>(Emas penting tau sekarang, kumpul jangan tak kumpul. Sebab nilai mata wang kertas dah tak akan berguna/tak laku bila kiamat dah dekat! Erk tapi siapa yang sanggup nak hidup bila kiamat dah dekat?) Ingatlah hari akirat dalam mengejar dunia. Seperti yang dinyanyikan oleh kumpulan Wali Band
disesuaikan dari blog NIYA

Friday, October 17, 2014

Merisik Khabar - Allahyarham Sudirman Hj Arsyad

Pabila mendengar lagu ini terkenang ketika belajar di SMK Tg Panglima Raja Lemal 1987 tingkatan 4 sains 1. Boleh dikatakan pelajar yang berada di kelas ini hanya 'transit' untuk ke sekolah yang lebih berprestij sperti SBP, MRSM dan Vokasional. Alhamdulillah aku juga mendapat rezeki untuk melanjutkan pelajaran ke SMS Tg Faris Petra, Pengkalan Chepa pada tahun yang sama iaitu 1987. Guru kelas aku di SMK Tiang Chandi iaitu Cikgu Aedah antara insan yang banyak berjasa kepadaku.Beliau sanggup membawa surat tawaran yang sampai di SMK Tiang Chandi untuk disampaikan kepadaku. Terima kasih CIKGU AEDAH ISMAIL. Sekarang beliau sudah pencen dan menetap di Lemal.