Hijrah dalam bahasa arab ialah berpindah. Namun dalam konteks Islam ialah perpindahan umat Islam dari Makkah ke Kota Madinah dengan tujuan untuk menyebarkan dan memperkukuhkan Islam. Hijrah itu juga suatu perubahan daripada kemunduran kepada kemajuan, daripada kesesatan kepada kebenaran dan pelbagai istilah yang digunakan sekarang.
Peristiwa hijrah yang membawa Nabi Muhammad saw serta pengikut baginda ke MAdinah adalah suatu rentetan kisah yang cukup hebat. Apatah lagi ruang berdakwah telah semakin sempit setelah kematian dua orang yang merupakan pendokong kuat baginda iaitu bapa saudara baginda Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu saiditina Khadijah r.a.
Semenjak itu umat Islam mendapat tekanan yang sungguh hebat. Apatah lagi boikot atau pemulauan yang dilakukan oleh orang Arab Quraisy terhadap keluarga Bani Hashim. Kita sedia maklum bahawa bani Hashim ini bukan semuanya Islam tetapi telah dipulau sama ada dalam hal ehwal jual beli, perkahwinan, serta urusan lain-lain. Namun begitu tempoh pemulauan tidak lama apabila surat pengumuman boikot itu telah musnah dimakan anai-anai yang telah digantung di dinding kaabah.
Tidak lama kemudian nabi Muhammad saw bersama dengan Zaid b. Harithah iaitu anak angkat baginda telah keluar ke Taif untuk menyebarkan agama yang suci ini. Namun begitu masyarakat di sana bukan sahaja tidak menerima malah membaling batu sehingga mencederakan baginda. Peristiwa ini telah menarik perhatian Jibrail untuk meminta izin daripada Rasulullah saw bagi menghukum masyarakat Taif. Namun dengan sifat kemuliaan baginda yang mengharapkan generasi mereka seterusnya akan menerima ajaran Islam maka hasrat Jibrail itu tidak terlaksana. Lihatlah betapa mulianya baginda serta mempunyai wawasan yang tinggi terhadap masa depan agama yang disebarkan ini.
Kemudian umat Islam telah diperintahkan untuk melakukan hijrah ke Habsyah ataupun Ethiopia sekarang. Pada awalnya hanya 15 orang sahaja yang menyertai hijrah ini. Tempat itu dipilih kerana pemerintahnya menganut agama samawi iaitu Nasrani. Sekurang-kurangnya beliau dapat memahami ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad saw. Penghijrahan ini tidak disertai oleh baginda Rasulullah saw sebaliknya hanya dihantar beberapa orang delegasi termasuklah Jaafar b Abu Talib dan diketuai oleh Uthman b Makhzun ke Habsyah.
Sebahagian mereka diarahkan berhijrah ke Habsyah (sekarang Ethopia).pelbagai peristiwa silih berganti berlaku Selepas itu Quraisy berusaha pula untuk membawa balik sahabat-sahabat Rasulullah Saw yang berhijrah ke Habsyah. Mereka menghantar dua orang wakil kepada Najasyi iaitu Abdullah bin Abi Rabea'h dan A'mru bin A’sh. Mereka membawa barang-barang yang diperbuat dari kulit kerana itulah hadiah yang paling disukai oleh Najasyi.
Mereka juga telah menyiapkan hadiah untuk penasihat-penasihat Najashi. Sebelum mereka mengadap Najashi mereka terlebih dahulu memberi sogokan kepada penasihat-penasihat Najashi dengan hadiah-hadiah yang mereka bawa. Mereka membisikkan tujuan mereka kepada penasihat-penasihat Najasyi. Mereka datang untuk membawa balik kaum mereka yang melarikan diri ke Habsyah. Jumlah umat Islam yang berhijrah ke habsyah sudah meningkat 100 orang. Kata mereka, "Orang-orang yang melarikan diri ini telah menolak agama kami dan juga menolak agama kamu. Oleh itu kami ingin meminta Najasyi menyerahkan kembali mereka semua kepada kami untuk kami bawa mereka pulang ke Mekah."
Selepas itu barulah Abdullah dan A'mru bertemu dengan Najasyi. Mereka mempersembahkan hadiah-hadiah yang dibawa kepada Najashi. Ini membuatkan Najasyi gembira menerima kunjungan mereka. Setelah itu barulah mereka menerangkan tujuan kedatangan mereka kepada Najasyi. Kata Najasyi: "Setelah aku mendengar dari pihak kamu, aku mesti juga mendengar dari pihak mereka iaitu orang- orang Islam." Najasyi memanggil semua orang Islam yang berada di Habsyah hadir ke istananya.
Mereka semua pun datang mengadap Najasyi diketuai oleh Saidina Ja’afar bin Abu Talib. Najashi bertanya kepada mereka, "Apa sebenarnya cerita kamu? Apa agama baru yang kamu bawa itu?" Maka jawab Saidina Ja’afar, "Dulu kami menyembah berhala, kami memakan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bersengketa sesama sendiri, kami memutuskan silaturrahim dan kami menyakiti orang lain. Selepas itu datang kepada kami seorang lelaki dari kaum kami. Dia orang yang paling mulia di kalangan kami membawa agama dari Allah, Tuhan sekalian alam. Dia mengajak kami menyembah Allah yang Maha Esa dan mengajak kami meninggalkan berhala dari batu-batu yang tidak boleh memberi manafaat atau mudharat itu. Dia mengajak kami supaya berkasih sayang dan berakhlak mulia. Dia mengajak kami meninggalkan maksiat dan dosa."
Saidina Ja’afar telah berjaya menerangkan Islam secara ringkas tetapi jelas kepada Najasyi bahawa amalan Islam itu semuanya amalan yang mulia dan terpuji. Najasyi senang hati dan gembira mendengar penerangan dari sepupu Rasulullah saw ini. Najasyi bertanya lagi, "Apakah ada pada kamu apa-apa yang dibawa oleh lelaki itu?"
Saidina Ja'afar membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada Najasyi yang menceritakan tentang Nabi Yahya dan Nabi Zakaria dari Surah Maryam. Setelah Saidina Ja'afar selesai membacanya, Najasyi berkata: "Demi Allah! risalah ini dan apa yang dibawa oleh Nabi Isa adalah dari sumber yang satu."
Najasyi sangat terkesan dengan ayat-ayat ini. Dia mendapati apa yang dibawa oleh Al-Quran sama dengan apa yang ada padanya. Najasyi ini juga seorang Ulamak dalam agama Nasrani. Najasyi memerintahkan agar dibenarkan orang orang Islam terus tinggal di bawah pemerintahannya di Habsyah. Kata Najasyi kepada orang-orang Islam, "Aku sekali-kali tidak akan menyerahkan kamu kepada musuh-musuh kamu."
Maka Abdullah dan A'mru bin Ash terpaksalah meninggalkan istana Najasyi bersama dengan tangan yang kosong dengan perasaan malu dan kecewa. Namun A'mru bin Ash ini yang terkenal dengan kecerdikan dan kelicikannya dalam diplomasi telah berpatah balik meminta izin untuk mengadap Najasyi semula. A'mru berkata kepada Najasyi, "Wahai Najashi, orang-orang yang kamu lindungi ini menghina Nabi Isa dan mereka mengatakan terhadap Nabi Isa perkataan yang kamu pasti tidak boleh menerimanya. Maksudnya orang Islam tidak mengatakan bahawa Nabi Isa itu anak Tuhan." Najashi bertanya: "Apa yang mereka katakan itu?" Kata Amru, "Tuanku tanyalah mereka sendiri."
Najashi mengarahkan supaya dipanggil semula orang-orang Islam. Najashi bertanya mereka: "Apa yang kamu katakan tentang I'sa bin Maryam?" Saidina Ja'afar menjawab soalan Najashi ini dengan membaca ayat-ayat Al- Quran berikut:
واذكر في كتاب مريم إذإنتبذت من أهلها مكانا شرقيا فاتخذت من دونهم حجابا فأرسلنا إليها روحنا فتمثل لها بشرا سويا, قالت إني أعوذ بالرحمن منك إن كنت تقيا, قال إنما أنا رسول ربك لأهب لك غلاما زكيا, قٌالت أنى يكون لي غلام ولم يمسسني بشر ولم أك بغيا, قال كذلك قال ربك هو علي هين ولنجعلك أية للناس ورحمة منا وكان أمرا مقضيا….... ذلك عيس ابن مريم قول الحق الذي فيه يمترون, ما كان لله أن يتخذ ولدا سبحانه, إذا قضى أمرا فإنما يقول له كن فيكون
Terjemahannya : Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, tatkala ia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka, maka Kami hantarkan kepadanya Ruh dari Kami, lalu ia menjelma kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalau kamu seorang yang bertakwa. Dia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyampaikan khabar bahawa kamu akan dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan memperoleh seorang anak lelaki padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun dan aku pula bukanlah perempuan yang jahat. Dia menjawab: "Demikianlah keadaannya, tak usahlah dihairankan. Tuhanmu berfirman: "Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai suatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya."……………….Yang demikian sifat-sifatnya itulah 'Isa bin Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu dan berselisih padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila Dia menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanya Dia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia." (Maryam: 16-35
Apabila Saidina Ja'afar selesai membaca ayat-ayat itu, Najasyi terus bertakbir. Najashi telah membenarkan apa yang diperkatakan oleh Al-Quran tentang Nabi Isa as. Terkejutlah para penasihat Najasyi dari kalangan pendita Nasrani kerana mereka meyakini bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan. Najasyi berNajasyi melepaskan semula orang-orang Islam dan selepas itu Najasyi selalu memanggil Saidina Ja'afar mengajarnya tentang Islam. Akhirnya Najasyi beriman kepada Rasulullah saw tetapi dia telah merahsiakan keislamannya.
Para penasihatnya yang merupakan ulamak-ulamak Nasrani yang tidak senang dengan pendirian Najasyi terhadap Nabi Isa telah berjaya mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan Najasyi. Berlakulah peperangan diantara tentera Najasyi dan pemberontak-pemberontak ini. Peperangan ini berlaku berdekatan dengan sebuah sungai, dikatakan sungai itu adalah sungai Nil. Orang-orang Islam tinggal diseberang sungai. Dari jauh mereka dapat melihat peperangan itu tetapi mereka tidak mengetahui siapakah yang menang.
Mereka telah menghantar Saidina Zubair bin A'wam menyeberang sungai untuk memerhati peperangan itu. Sekiranya Najasyi menang selamatlah orang Islam di Habsyah tetapi sekiranya Najasyi kalah, orang-orang Islam di Habsyah akan menghadapi masalah. Alhamdulillah Najasyi telah menang dalam peperangan itu. Para Sahabat turut bergembira dan bersyukur di atas kemenangan ini.
Najasyi telah istiqamah berpegang dengan agama Islam sehinggalah dia meninggal dunia. Ketika Najasyi meninggal dunia, Jibril telah datang memberitahu Rasululah saw. Lalu Rasulullah saw dan para sahabat melakukan sembahyang ghaib kepada Najasyi. Imam Bukhari ada meriwayatkan satu hadis dari Saidina Jabir. Sabda Rasulullah saw pada hari kematian Najasyi : ( ( مات اليوم رجل صالح فقوموا فصلوا على أخيكم أصحمة. Terjemahannya, "Telah meninggal dunia pada hari ini seorang lelaki yang soleh maka bangunlah dan sembahyanglah ke atas saudara kamu Ashamah (namanya Ashamah)."
Setelah itulah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah saw dan dalam sejarah umat Islam. Menurut Imam Nawawi, peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab tahun keduabelas selepas kenabian.
bersambung...
rujukan
No comments:
Post a Comment