Wednesday, October 29, 2014

SPM MU TUNGGU AKU DATANG...

Apabila dibaca tajuk posting ini berulangkali teringat judul sebuah filem yang diarahkan oleh saudara Piere Andre dan penampilan khas daripada Ustaz Azhar Idrus (UAI) iaitu Ustaz Mu Tunggu Aku Datang..

Namun posting ini tidak berkaitan dengan filem tersebut malah berkisar tentang penantian calon SPM 2014 untuk menduduki peperiksaan yang akan bermula 3 November ini. Memasuki alam persekolahan seawal 6 tahun di tadika, kemudian melangkah ke alam sekolah rendah selama 6 tahun. Meningkat ke sekolah menengah daripada tingkatan 1 hinggalah ke penghujung tingkatan 5..Ini bermakna seseorang calon sudah berada di alam persekolahan selama 12 tahun. Peperiksaan yang akan diduduki nanti adalah kemuncak keberadaan mereka di sekolah. Seumpama pelari olahraga 100m atau 1000m yang sudah menjalani latihan bertahun-tahun untuk menyertai acara di peringkat Asia ataupun Olimpik. Latihan serta input yang diperoleh bertahun-tahun itu seharusnya dijadikan sumber kepada kecemerlangan untuk acara yang terakhir tersebut. Begitulah jua dengan calon SPM.

Admin telah mengambil SPM sekitar tahun 1988 di sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan. Suasana ketika menduduki peperiksaan di sekolah tersebut tidak banyak bezanya dengan di sekolah-sekolah yang lain. Masih ingat lagi pada tahun itu banjir besar berlaku di bandar Kota Bharu. Ini menyebabkan ada beberapa kertas terpaksa ditangguhkan kerana banjir dan menyukarkan calon-calon untuk ke pusat peperiksaan. Bagi kami pelajar-pelajar SBP tidak begitu bermasalah kerana tinggal di asrama dan tidak terlibat dengan banjir kerana kawasan sekolah tersebut agak tinggi dan tidak pernah berlaku banjir.

Calon-calon yang akan menduduki peperiksaan nanti dinasihatkan agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri. Makan dan minum perlu dijaga dengan baik. Yang memiliki motor sikal dengan lesen L itu tidak perlulah nak merempit-rempit di jalanan sambil menunjuk-nunjuk motor yang dipinjamkan oleh bapa ataupun abang. Sebaliknya fokus kepada pelajaran. Mata pelajaran BM dan Sejarah perlu diberi perhatian yang serius. Tanpa kedua-dua mp tersebut maka calon tidak layak untuk mendapat sijil. Apabila tidak mendapat sijil maka tidak layak untyuk masuk kolej. Jika tidak dapat masuk kolej maka terpaksa menduduki peperiksaan itu sekali lagi.

Saya berharap agar calon SPM 2014 ini nanti sudah bersedia dengan secukupnya daripada segi mental dan fizikal. Ibu bapa pun pada waktu ini sentiasa berdoa untuk kejayaan anak mereka. Ada ibu yang sanggup berpuasa pada setiap hari sepanjang anak-anak mereka mengambil peperiksaan. Sesungguhnya cukup mulia pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Bagi anak, balaslah pengorbanan ibu anda dengan sijil yang cemerlang untuk ibu bapa. Sesungguhnya itu sudah cukup untuk membayar segala penat lelah mereka.

Ada pelajar yang menyatakan bapa mereka seolah-oleh tidak menunjukkan emosi seperti yang ditunjukkan oleh ibu. Sebenarnya emosi bapa lebih bergelodak berbanding dengan ibu. Namun itu tidak ditunjukkan kerana bapa ini ada satu sikap iaitu EGO. Namun di belakang anak-anak, bapa ini akan menunjukkan rasa gembiranya dengan menceritakan kejayaan anak-anak di depan kawan-kawan di tempat kerja dan juga di kedai kopi. Ada yang sanggup membelanjakan kawan-kawan walaupun mahal. Untuk menunjukkan rasa gembiranya mereka

Yang pentingnya calon-calon perlu berusaha dan bertawakkal. Anda sudah berusaha dengan sepenuhnya...selebihnya serahlah pada Allah swt dengan melakukan solat hajat yang berterusan. Moga kejayaan yang terbaik akan anda kecapapi.

DO THE BEST.

No comments: