Thursday, November 22, 2012

AMALAN KEPIMPINAN MORAL

Perubahan paradigma dan perkembangan semasa telah menjadikan pengurusan organisasi pendidikan semakin kompleks yang mana input baru melalui tren terkini tentang pengurusan pendidikan perlu dipelajari sebagai amalan pentadbir sekolah. Salah satu perubahan kepimpinan yang perlu diketengahkan adalah kepimpinan moral yang mana ia merupakan satu ilmu baru dalam bidang kepimpinan di Malaysia. Fenomena ini muncul hasil daripada cantuman pelbagai proses transnasional dan struktur domestik yang membolehkan ekonomi, politik, budaya dan ideologi sesuatu negara menerobosi sempadan negara lain (Abdul Rahman Embong,2000.Objektif kajian untuk mengenalpasti amalan-amalan pentadbir sekolah yang dapat membantu transformasi diri, transformasi sosial; dan transformasi diri pentadbir dalam meningkatkan hubungan interpersonal dengan staf sekolahmereka. Walau bagaimanapun pembentang ini akan menghadkan kepada amalan-amalan pentadbir sekolah yang dapat membantu transformasi diri.
Model Kepimpinan Moral oleh Anello(2002) telah dijadikan kerangka konseptual kajian. Selanjutnya data dikutip menggunakan kaedah kualitatif secara kajian kes yang menggunakan tiga pendekatan dalam mengumpul maklumat secara triangulasi iaitu temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Seramai enam orang peserta kajian yang terdiri daripada para pentadbir sekolah menengah terlibat dalam menjawab soalan-soalan kajian. Maklumat diproses dengan menjalankan reduksi, pengekodan dan verifikasi berasaskan tema. Data-data tersebut dipaparkan dalam bentuk rajah pokok dan jadual kekerapan. Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan semua peserta kajian melaksanakan amalan kepimpinan moral dalam pentadbiran di sekolah. Penemuan baru mendapati amalan refleksi adalah amalan yang mentransformasi para pentadbir di sekolah menengah. Kajian juga mendapati keperluan kepada kepimpinan moral dalam mencapai pentadbiran sekolah yang cekap dan berkesan berdasarkan dapatan kajian yang diperoleh. Kajian ini melaporkan transformasi diri pentadbir telah mewujudkan hubungan interpersonal yang meningkat dengan staf sekolah. Di samping itu, implikasi kajian ini menunjukkan bahawa pihak berkepentingan dalam pendidikan seperti Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan perlu menyediakan program latihan yang terancang serta berjadual untuk membolehkan amalan kepimpinan moral khususnya transformasi diri dapat dihayati sepenuhnya oleh para pentadbir. Akhirnya, dapatan kajian ini berdasarkan satu kajian kes sahaja maka tidak boleh digeneralisasikan kepada semua sekolah di Malaysia.
oleh Wan Noor Azmi UM 2011

No comments: