Amalan Kepimpinan Moral (II)
Greenfield(2004) berpendapat bahawa pentadbir sekolah yang berusaha untuk berada dalam sesebuah komuniti harus mengambil berat akan setiap kebajikan orang di sekelilingnya serta membantu antara satu sama lain untuk belajar bagi meningkatkan rasa kekeluargaan, keakraban dan perhubungan antara warga sekolah(Greenfield, 2004, 174-175). Dengan itu
amalan kepimpinan moral yang dilaksanakan oleh para pentadbir yang lain akan membangkitkan semangat serta motivasi kerja kepada guru-guru.
Apabila guru-guru berasa puas dan bersemangat terhadap kerja, maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah digariskan tanpa memikirkan kepentingan diri mereka. Justeru apabila kepimpinan dipraktikkan secara autoriti moral,para guru akan dapat memberikan komitmen secara bersama dan menunjukkan sikap saling bergantung antara satu sama lain (Sergiovanni, 1992). Impaknya, prestasi pelajar akan meningkat dengan cemerlang apabila komitmen yang ditunjukkan oleh guru menjadi teladan dan contoh kepada pelajar.
Melalui kajian yang telah dijalankan oleh Wan Mohd Zahid (1993) di Kedah menunjukkan aspek utama yang memotivasikan guru-guru untuk bekerja di sekolah bukanlah disebabkan oleh pangkat atau gaji tetapi bagaimana layanan, penghormatan dan penghargaan yang diberikan oleh guru besar atau pengetua. Pengiktirafan yang diberikan ini akan dibalas dengan usaha yang gigih dan juga penghormatan terhadap pemimpin. Seterusnya memangkin kecemerlangan institusi pendidikan tersebut.
Sergiovanni (1992) pula menekankan bahawa kepemimpinan moral yang berkesan akan melahirkan dan mengembangkan proses-proses pembelajaran secara bersistematik berasaskan kemampuan yang ada pada setiap manusia. Beliau menyarankan kepimpinan ini perlu diterapkan dalam institusi pendidikan kerana institusi tersebut adalah memberi perkhidmatan kepada masyarakat untuk kepentingan manusia pada masa depan. Pernyataan ini disokong oleh (Greenfield, 1999; Rahmad & Mariam, 2007)dengan menegaskan bahawa kepimpinan moral di sekolah berupaya untuk membawa anggota masyarakat untuk mencapai tujuan asas secara bersama. Tegasnya lagi, tujuan itu dapat dicapai dengan cara pemimpin tersebut hendaklah berperilaku secara bermoral terhadap semua orang dalam memberikan perkhidmatan di samping menyediakan aktiviti yang bermatlamat bagi memenuhi keperluan pelajar dan ibu bapa. Selanjutnya Greenfield(1999) menyarankan agar para pemimpin moral disekolah berperanan untuk mengaplikasikan aspek kepimpinan moral dalam pengurusan di sekolah. Tegasnya di sini bahawa tanggungjawab ini seharusnya diambil oleh para pentadbir untuk diimplementasikan kepada para guru bagi membentuk kepimpinan moral yang berkesan di sekolah. Sehubungan itu, pemimpin pendidikan seharusnya mengambil langkah yang proaktif untuk membolehkan orang-orang bawahannya melaksana dan menjalankan tanggungjawab dengan rela hati dan ikhlas. Hal ini dapat dicapai apabila setiap pemimpin dan pentadbir mempunyai tanggung jawab moral untuk membuatkan ahli-ahli dalam pertubuhan
ataupun institusi merasa disambut, diinginkan dan dihormati (Sergiovanni, 1992).
wan noor azmi 2012
No comments:
Post a Comment