Kebun getah yang sekangkang kera di belakang rumah itulah yang menjadi tempat ibuku mencari rezeki. Selain itu tanah padi pusaka Arwah Tokku yang dipawah dengan Pak Nik Dol di Kg Pak Jak juga hasil pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan kami anak-beranak. Gaji bapaku pun tidak seberapa pada waktu itu.
Wajah Ibu Yang sentiasa gembira
Awal-awal pagi lagi ibuku bangkit daripada tidur selepas solat subuh. Mengambil pisau toreh yang diletakkan di belakang baloh. Pakai kasut getah warna hitam. Seluar dan baju lengan panjang. Pada baju dan seluar penuh dgn kesan getah. Aku rasa jarang dibasuhnya. Pisau toreh sudah diasah dengan batu pengasah yang baru dibeli dari rumah Pakchu Hamat. Kesat rasanya batu itu. Berbentuk segiempat tepat. Sambil asah dicucur air.
Dalam kebun getah, memang banyak nyamuk. Kecil tapi berbisa. Pedih dan gatal selepas digigit. Nampak bintil-bintil merah selepas gigitan nyamuk. Terbang sambil berdengung-dengung di cuping telinga. Memang menyakitkan hati. Pukul seekor, berpuluh-puluh lagi datang. Ramai juga kena penyakit demam malaria. Orang kampungku kata demam kura-kura. Menggeletar jika terkena demam tersebut. Ada yang membawa maut. Terutamanya yang tinggal dalam hutan. Susah pengangkutan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Pacat pula memang galak mencari darah. Lalu sahaja di atas rumput, Benda hitam berjengket-jengket, seolah-olah mengejar aku. Hinggap sahaja pada kaki secara tidak sedar pacat ini bergerak aktif dan melekat di celah ibu jari kaki. Kadangkala sampai celah paha, celah ketiak, kat pusat. Pacat yg kekenyangan buncit penuh dengan darah. selagi belum kenyang memang melekat kuat pada gigitan tersebut. Bukan seekor, empat lima ekor pun ada. Ibu selalu suruh aku balik ke rumah. "Tidur kat rumah lagi baik" tegas ibu. Namun tapi aku rasa bosan, nak ikut juga.
Pada batang pokok getah diletakkn mangkuk. Selalunya tempurung kelapa dibuat sebagai mangkuk susu getah. Mangkuk disangga dengan ranting kayu. jika torehan itu tinggi. "Menoreh tidak boleh kasar sangat," kata ibu. Nanti habis rosak batang pokok. Torehan bermula dari atas menyerong hingga ke bawah. Bila ditoreh, kulit yang nipis beserta getah yang telah beku dari semalam akan di letakkan dalam satu bekas. Itupun boleh jadi harga. Susu getah akan menitik perlahan sedikit demi sedikit ke dalam tempurung. Pada hujung bawah torehan diletakkan sudu. Sudu kadangkala dibubuh daun getah. Kini guna besi atau aluminium. Untuk memudahkan susu menitik masuk ke tempurung. Kerja menoreh akan siap pada pukul 8 pagi.
2 jam berehat. Menyapu sampah, bagi makan ayam. "Kru, kru, kru," berderu anak-anak, ibu dan bapa ayam mencari suara itu. Macam sudah kenal. Selalunya hampas kelapa, lauk yang tak habis dan nasi dingin, menjadi makanan ayam. Ayam terlalu jinak. Atas rumah pun naik. selepas dihambat sempat keluarkan najis atas tangga. Najis manusia pun jd mknan. Ibu ayam akan kais tanah utk mendptkn cacing dlm tanah. Berebut2 anak ayam utk mendptkn cacing tanah yg masih hidup itu. Bapa ayam yg senior pula asyik berkokok. Nyaring kokokan. Selalu mengejutkan kami drp tidur untuk solat subuh. Kononnya hebat sangatlah. Maklumlah dua tiga ekor ayam betina mengekori si Balung ni. Kalau ada ayam jantan lain yg mahu merampas ayam betina muda di kawasan tersebut maka berlakulah aksi berlaga. Yang menang akan berkokok yg kalah berlalu pergi dengan penuh kehampaan.
Pukul 10 pagi, proses mengutip susu getah pula dilakukan. Sesudah makan nasi kerabu yang baru dijaja oleh Mak Som. Ibu menanak nasi untuk persediaan makan tengah hari, ibu akan masuk semula ke kebun getah untuk mengutip susu getah. Dua baldi akan dikandar untuk diisi susu getah yang penuh. Ibu cakap tak boleh terlalu lewat. Nanti getah akan beku. Kalau dah beku jadi 'pok getah' atau getah sekerap. Banyak kerja kena buat.
Susu yang penuh akan dibawa ke bangsal getah. Di bangsal terdapat mesin getah, takung, penyidai dan asid formik. Susu getah akan dituang ke dalam takung. Dimasukkan sedikit cuka getah (asid formik) untuk mempercepat proses getah beku. Lebih kurang 1 jam. Apabila beku, getah itu akan dikeluarkan dan diletakkan atas simen. Dilenyek-lenyek dengan tangan sehingga hampir nipis. Kemudian dimasukkan ke mesin getah. Mesin penggelek ada dua jenis. Yang licin untuk menipiskan getah serta mengeluarkan air. Mesin ini boleh dilaras. sama ada untuk dirapatkan penggelek atau dijauhkan. Tugas memusingkan mesin itu ialah aku dan abang. Kadangkala berebut-rebut nak pusing. Yang jenis bunga adalah paling akhir setelah melalui penggelek licin. Kemudian disidai pada kayu penyidai untuk dikeringkan di bawah sinaran matahari. Rezeki tidak menentu. Kadangkala dapat sekeping, kadangkala dua keping getah sehari. Kalau musim hujan memang kerja menoreh terpaksa dihentikan. Punca rezeki memang terhenti. Sehabis menoreh, ibu akan membasuh dan mengasah pisau toreh agar sentiasa tajam.
Mesin Penggelek
Kemudian diletakkan di tempat selamat. Pernah sekali aku cuba untuk menoreh. Habis rosak batang getah. Bising satu kampung ibu aku membebel. Dibasuh dan digosok tangan dengan sabut kelapa untuk mengelakkan drp melekat di tangan dan badan. Kalau tidak wuduk tidak rata, solat tidak sah.
Di Kg Banggol Setol ada dua tiga orang yang membeli getah keping dan getah sekerap daripada penduduk kampung iaitu Pak Muda Yaakub Jarah, Pakteh NikMud dan seorang lagi tapi lupa nama duduk di Pondok Banggol Setol. Seminggu atau dua minggu sekali mereka datang untuk membeli getah keping di rumah. Selalunya guna kati untuk menimbang getah. Hasil daripada penjualan getah itu ibu simpan dalam baju dalam yang ada poket di bahagian depan. Apabila nak berbelanja untuk membeli ikan ayo(tongkol), daging, ayam, ketam, duit itulah digunakan. Diselak baju dan diambil duit drp poket berzip itu. Penjaja iaitu Pakchik Halim MokDoh akan datang membawa barang jualan dengan motor. Dibelakang motor, diletakkan bakul yang tertutup. Dalam bakul itu dibuat beberapa bahagian untuk diletakkan ikan, udang, ketam. Sambil memicit hon..lebih kurang pukul 11 Pakchik Halim sudah datang dengan barangannya. Di kiri kanan bakul disangkut jajang spt cikades, mamee, lolipop, dsb. Daging pula dibeli dengan Abg Awang Sepiah. Tiap hari jumaat ada orang sembeliih lembu untuk dijual. Ibu aku suka makan limpa. Limpa dibuat singgang memang sedap.
Di tepi-tepi pagar ditanam dengan ubi kayu, ubi keledek dan tebu. Tebu yang berwarna kemerahan manis sedikit berbanding warna hijau. Aku suka kopak dengan gigi. Kemudian dikekah. Manis rasanya. Tebu dipangkas ikut takuk.
Begitulah rutin ibuku semasa masih sihat dan kuat. Namun selepas beberapa tahun ibuku kena stroke sehingga tangan kiri dan bahagian badan sebelah kiri jadi hamoir lumpuh. Tahun 2010, ibuku pergi meninggalkan kami semua ketika aku menyambung pengajian peringkat sarjana di UM. Moga Roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Khas untuk ibu
No comments:
Post a Comment