Wednesday, July 10, 2013

Hari Temasya Sukan SMKSB

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan Sinar Bintang kali ke-13 telah berlangsung dalam suasana yang sederhana tetapi cukup meriah di Padang SMK Menjalara pada tanggal 6 Julai 2013 yang lalu. Walaupun temasya ini tidak dapat dilangsungkan di Stadium Selayang seperti tahun-tahun sebelum ini atas faktor kerja-kerja penyelenggaraan namun atas inisiatif Tuan Pengetua iaitu Tuan Haji Che Yahya b Hj Che Soh maka temasya ini telah dapat dianjurkan di padang sekolah SMK Menjalara.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak tuan rumah. Temasya yang dilangsungkan ini bukan sahaja mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada guru-guru dan pelajar-pelajar malah pihak ibu bapa juga terutama PPKI turut sama memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka.. Sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak menjadikan temasya ini sesuatu yang manis dan bermakna untuk kenangan yang berpanjangan. Di keheningan subuh, pelajar-pelajar dan guru-guru mula membanjiri pintu masuk SMK Menjalara dengan penuh bersemangat untuk menyiapkan tugasan terakhir seperti hiasan kemah dan kelengkapan pasukan perbarisan serta maskot.
Pihak penganjur difahamkan bahawa ketua-ketua guru rumah sukan telah mengambil inisiatif sendiri dengan menyewa maskot yang bertemakan animasi dalam filem-filem yang ditayangkan di pewagam. Antaranya ialah watak Shrek (uranus), Smurfs(Polaris), Tigress(Mercury), Mickey Mouse(PPKI), Bees(Acrux), Vega dan (Elektra) Begitu juga dengan ketua-ketua dan guru-guru rumah sukan yang bertungkus-lumus menyediakan kelengkapan serta hiasan yang menarik bagi memenangi perbarisan rumah sukan terbaik.
Temasya bermula dengan perbarisan masuk dan lintas hormat daripada pasukan beruniform sekolah yang terdiri daripada Pasukan Kadet Bomba, Persatuan Bulan Sabit Merah, Kadet Polis, Pengakap, Kadet Remaja Sekolah dan Pengawas serta kontigen rumah sukan yang terdiri Rumah Acrux, Elektra, Uranus, Mercury, Polaris dan Vega serta Pelajar PPKI bersama dengan maskot rumah masing-masing. Kemudiannya bacaan doa oleh Cikgu Mohd Hidayat agar temasya pada kali ini dapat berjalan dengan lancar. Sejurus selepas itu, ucapan alu-aluan serta perasmian oleh Tuan Pengetua. Lafaz ikrar kesukanan dibacakan oleh Ketua Pengawas Sekolah. Kemudiannya upacara menaikkan bendera kejohanan, nyanyian lagu sekolah, lagu Wilayah Persekutuan dan Lagu Negaraku. Tepat jam 9.00 pagi acara sukan pun bermula dengan acara larian 100m lelaki kelas 1 dan diikuti dengan acara-acara lain dalam peringkat akhir.

No comments: