Sunday, April 24, 2016

CATATAN XV KE 15 PERJALANAN KE TERENGGANU

Perjalanan ke Terengganu amat menyeronokkan. Bangun awal pagi. Makan nasi kerabu. Minum teh O. Sebenarnya semalaman aku tidak lena tidur apabila diberitahu akan ke Terengganu. Asyik tanya ibu walaupun memang sudah tahu. Sampai ketika ibu buat tak tahu jer. Pabila soalan yg sama dan berulang-ulang menerjah telinganya.

Ibu membawa kami adik beradik iaitu aku, abg Din dan Kak jah. Sementara bapaku tak dapat pergi kerana ada urusan lain. Abgku yang seorang lagi iaitu Wan Mohd Syukri sudah pergi mengadap Ilahi pada tahun 1976 lagi.

Kami gembira kerana dapat naik banyak bas. Dari Chabang tiga Pok Leh ke Pasir Mas, naik bas SKMK. Di Bandar Pasir Mas pula naik bas P. Mas - Kota Bharu. Di Kota Bharu pula naik bas KB-Jerteh. Dari Jerteh naik bas biasa ke Kuala Terengganu. Berhenti di Kg Buloh(Bdr Permaisuri). Naik bas Penarik. Bas akhirnya sampai ke destinasi iaitu Kg Banggol.

Perjalanan yang cukup lama melewati dari pagi hingga ke petang. Aku duduk di tepi tingkap. Sambil menghulur tangan utk merasa angin. Debu dan habuk tak peduli. Tambah lg dgn bau minyak diesel yg berkepul drp ekzos bas. Dapat melihat bangunan kedai, kereta2, motorsikal, beca di tgh bandar kb. Semakin menjauh dari bandar sawah bendang mula kelihatan. Petani mengerjakan sawah. Anak2 sedang bermain. Alangkah seronoknya mereka. Satu ketika melalui kawasan ladang getah, hutan dan bukit bukau. Agak lama juga sehingga aku dibuai mimpi di siang hari. Dikejutkn oleh abgku. Rupanya dah sampai di Pekan Jertih. Turun di stesen, sempat basuh muka, solat zohor dan makan tengah hari. Nasi dagang lauk ikan tongkol memang cukup popular di samping nasi kerabu yang dijual di warung berdekatan stesen bas Jerteh. Kebanyakan orang Jerteh bercakap macam orang Kelantan. Ada yang mendakwa mereka tu anak Kelantan.

Pada awalnya seronok tapi mulai rasa boring apabila perjalanan yg cukup lama. Asyik tanya ibu "bila nak sampai?".

Di stesen bas, Ibuku bertanya orang. “Bas ni gi ke Kg Buloh hok mana?” tanya ibu kepada seorang lelaki yang kebetulan sedang makan bersebelahan meja di sebuah warung. Terus lelaki yang baik itu menunjukkan ke arah bas yang diparking di sebelah kiri stesen bas. “Bas itu yang warna biru ke Kg Buloh( Bdr Permaisuri) Sambil membimbit beg, dipimpinnya aku. Abang dan kakakku masing-masing membawa beg plastik gelenyar (yang aku lupa apa isinya)..ibuku memang tak bersekolah. Tambahan pula keluarga yang susah. Kais pagi mkn pagi, kais petang mkn petang. Sepanjang perjlnan dari Kelantan hingga ke Jertih, konduktornya semua lelaki tapi di Jerteh ke Kg Buloh, Terengganu konduktornya adalah perempuan. Berbaju kurung tanpa tudung. Nampak kasar dan garang. Lambat naik. Dijeritnya "naik, naik, naik" dgn suara yg nyaring. Ditariknya guni yg berisi brg ke atas bas dgn sebelah tgn. Memang mengalahkan orang lelaki. Ibuku pula memang seorang yang peramah. Bersembang dengan seorang penumpang yang duduk di kerusi di sebelah ibu. Aku dukuk di tepi tingkap. Abang dan kakak berkongsi kerusi. Penghawa dingin memang tiada. Harapkan angin luar. Kelihatan juga ramai yang berdiri. Makcik yang bersembng dengan ibuku itu rupanya nak ke Chalok. Bila ibuku ceritakan nak pergi ke Kampung Banggol dan diceritakan perihal suami kakakku itu, ruap-rupanya makcik itu kenal. Rancak juga perbualan mereka. Kg Banggol, Jalan Penarik tu tinggalnya kakak aku iaitu Kak Zah atau Wan Azizah bt Wan Harun. Kakak sama ibu lain bapa. (Kakzah sdh meninggal dunia pada mei tahun 2014)...

Disebabkan masalah keluarga, beliau membawa diri hingga ke Terengganu. Ketika kecil, bapaku memelihara kakakku dan menganggapnya sebagai anak sendiri. Namun disebabkan hubungan dengan ibu tiri yang tidak berapa baik maka berlakulah krisis yang aku tidak diberitahu lebih lanjut tentang itu. Cukup sekadar itu sahaja. Bertahun-tahun keluargaku mencarinya sehinggalah ditemui berada di Kg Banggol, Terengganu.

Kakzah rupanya telah memilih seorang OKU untuk menjadi teman hidupnya. Tanpa tangan dan tanpa kaki. Dipanggil juga Orang Timun. Namun otak geliga. Boleh membaiki kereta dengan mengarahkan orang lain buat. Pernah mengajarku bawa kereta(dah kerja). Bijak berkata-kata. Kerjayanya menjual ubat di merata tempat sehingga ke Kedah. Ada seorang pemandu dan pembantu. Pernah sampai ke Makkah dan bergelar haji. Walaupun tanpa tangan dan kaki, Haji Jaafar ini boleh makan sendiri tanpa bantuan orang lain. Cuma sediakan meja yang separas dengan dada. Sudu dan pinggan serta nasi. Semuanya diuruskan sendiri. Subhanallah.

Gambar KakZah, suaminya Hj Jaafar anak Mat Kasim

Gambar tahun 2010

Sebelum berkahwin, rupa-rupanya Hj Jaafar sudah berkahwin dengan seorang perempuan yang tinggal di Jertih. Jodoh tidak panjang. Wanita itu meninggalkan Hj Jaafar dengan seorang bayi lelaki yang sebaya dengan aku iaitu Syukria. Cuba bayangkan..kahwin dengan seorang OKU terpaksa bela pula anak lelaki yang masih kecil. Mujurlah Hj Jaafar masih ada ibu yang banyak membantu menguruskan bayi dan beliau yang OKU. Sehingga berkahwin dengan Kakzah, bebanan menjadi ringan. Alhamdulillah hasil perkahwinan Hj Jaafar dengan Kakzah mendapat sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan.Yang lelaki bernama Mat Kasim sampai sekarang tidak kahwin kerana menjaga ayahnya yang OKU. Sementara adiknya Noreha sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak perempuan. Bapa Hj Jaafar iaitu Hj Mohamad atau org pggil Tok Pok suka berpoligami. Isterinya ramai. Anak-anak pun ramai. Harta pun banyak. Yang lain dilahirkan sempurna tetapi Hj Jaafar...

Apabila tiba di Kg Banggol, aku banyak berkawan dengan Syukria kerana sebaya denganku. Aku dibawa memetik buah gajus atau buah ketereh yang banyak tumbuh di kiri dan kanan jalan. Buah gajus rasanya payau. Bijinya boleh dibakar dan sedap dimakan. Kami suka mandi sungai dekat perkuburan Kg Banggol. Airnya sejuk dan dingin. Namun petang itu tidak sempat kerana hampir maghrib baru sampai. Baju pun lencun dengan peluh. Pada mlmnya selepas solat isyak kami dijamu dengan nasi berlaukkn ikan tongkol singgang. Daging goreng. Acar timun. Ulam daun gajus. Budu yang diperah asam liimau. Memang berselera sungguh. Aku sampai tambah dua kali.Selepas mkn mlm, aku dan abang terlena tidur di ruang tamu beralaskan tikar mengkuang. Bantal kekabu. Selimut yang nipis. Kakak pula tidur dlm bilik.

Nampak sangat keseronokan yang ditunjukkan dengan kedatangan kami. Malam kami sampai tu sungguh rancak perbualan dengan ibu. Dua-dua sama peramah dan suka cakap banyak. Aku tak tahu apa yang mereka bualkan. Kami tertidur.

Pagi-pagi lagi kami dikejutkn dengan kokokan ayam yang bersahut-sahutan. Ayam peliharaan Kakzah tidur di bawah rumah. Bingit bunyinya. Diikuti kicauan burung murai yg berleter di pagi hari. Burung Chak Chiak yg menjadi penghuni setia rumah juga mula bernyanyi lagu pagi. Mungkin pesanan utk anak dlm sarang sebelum keluar mencari makan. Suasana dingin di pagi hari juga menusuk hingga tulang sum sum. Mungkin faktor pengaruh angin dari laut. Kebetulan berdekatan pantai Penarik. Suasana itu menyebabkan aku tak mandi pagi. Sebaliknya hanya gosok gigi dan mengambil wuduk sahaja.

Kuintai Abg Hj Jaafar sedang solat tp dia selalu solat sendirian. Wiridnya pun panjang sampai pukul 8 belum habis lagi. Mcmana dia solat? Rupanya di tempat sujud di atas sejadah Kakzah meletakkan satu bantal utk memudahknnya sujud. Subhanallah. Walaupun tidak sempurna tetapi biarlah sempurna di hadapan Allah.

Di Kg Banggol, bekalan elektrik hanya 12 jam. Itupun menggunakan kuasa generator yang terletak di hujung kampung. (Kampung aku memang langsung tiada bekalan elektrik pada waktu itu). Bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi. Pada petang kami naik bas ke Pantai Penarik. Seronok melihat suasana pantai. Namun anginnya cukup kencang. Kami tidak mandi kerana keadaan pantai yang curam. Merbahaya jika mandi. Kmai hanya melihat pemandangan pantai serta pasir yang memutih. Pokok kelapa melambai-lambai ditiup angin. Desir angin yang menderu. Dingin rasanya.

Keesokan harinya, kakzah membawa kami berjalan2 di rumah saudara mara belah abg Hj Jaafar. Sambil ziarah diperkenalkn kami. Mereka sungguh gembira kerana sebelum ini tak pernah berjumpa dgn keluarga kakzah.

Kami berada di Kg Banggol selama 3 hari 2 mlm. Timbul rasa bosan pulak. Teringat pula kawan-kawan di kampung. Pagi khamis kami bertolak balik ke Pasir Mas. Kakzah menghantar kami hingga ke Bdr Permaisuri (Kg Buloh). Mcm2 dibeli untuk dibawa pulang sbg buah tangan. Hampir satu guni. Kulihat manik2 jernih mula menitik di pipinya. Sambal dicium pipi kami semua.Sedih kerana akan berpisah dengan kami. Selepas itu, Kakzah juga selalu balik kampung terutama pada hari buat ketupat dengan menaiki kereta yang dimiliki oleh Abg Hj Jaafar. Dipandu oleh abangnya sendiri iaitu Pak Teh Kob.

#nota kaki : Kakzah (Wan Azizah)-telah pulang kerahmatullah pada 8.5.2014 di Hosp Besar K. Terengganu kerana masalah jantung.

Wednesday, April 20, 2016

CATATAN KE XIV 14 – MUSIM HUJAN/BANJIR

Bila tiba musim hujan semua aktiviti seolah-olah terhenti. Menoreh getah, menanam padi, memotong kayu dan lain-lain terhenti. Hujan yang berterusan selama seminggu lebih telah mengakibatkan banjir. Mujurnya kampungku tidak pernah digenangi air banjir. Namun kampung sekitar seperti Kg Lumpur, Kg Machang Bubuk, Kg Jejawi, KG Chenerai, Kg Bongor, Kg Tok Sangkut selalu ditenggelami air. Pada musim banjir orang-orang kampung sekitar akan membawa binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing untuk ditambat di tepi-tepi jalan utama di Kg Banggol Setol(kampung kelahiranku). Menurut orang tua-tua spt Pak Teh Che Hat danTok Dor Umar, waktu bah air merah sekitar tahun 1926 kampungku pun tak pernah di naiki air. Memang sesuai dengan namanya iaitu banggol(tempat yang tinggi). Selain itu Gual dan Gong juga mempunyai maksud yang sama. Fenomena banjir ini berlaku setiap tahun.

Selalunya musim tengkujuh jatuh dalam musim cuti sekolah iaitu sekitar nov-dis setiap tahun. Petir dan guruh saling bertingkah. Aku menekup telinga. Bapaku selalu suruh baca ayat kursi ketika petir atau kilat melanda. Org kampung aku juga panggil 'pak ndir'. Aku pun tak faham apa maksud panggilan tersebut. Kebiasaannya hujan sudah mulai turun sebelum cuti sekolah lagi. Bapaku memakai baju hujan yang besar. Cukup untuk kami berdua. Abangku pula belajar di sekolah lain iaitu SK Kedai Tanjung. Aku membonceng motor dibelakang bapaku sambil memeluk perutnya yang buncit. Kasut pula daripada jenis getah sepenuhnya. Kalau hujan. Masuk air dalam kasut. Bila berjalan bunyi 'pluk plak’. Bila buka kasut, bau kaki memang cukup busuk. Kadangkala ada nanah pada kuku ibu jari kaki. Org ckp 'kena semoyang''. Memang sakit. Bila dah tegang dan membonjol. Dipicit-picit dengan penuh kesakitan . Keluar nanah putih bercampur darah. Lega rasanya. Bila cium..mmg busuk tp sudah jadi tabiat untuk menciumnya. Celah kaki pula pecah-pecah. Pedih dan gatal. Orang kata dimakan air. Mcm2 penyakit. Kurap tu memang biasalah. Garu2 sampai berdarah pun tak sedar.

Pada musim banjir bunyi air hujan jatuh pada atap rumbia cukup berirama bunyinya. Atap dibuat secara tradisonal oleh orang-orang kampung. Tok Sedaraku iaitu Tok Ayah Tuan Yib memang handal buat atap daripada daun sagu(rumbia). Pelepah sagu ditetak kemudian daun dipangkas menggunakan parang. Daun-daun itu disusun dan dilipat pada buluh yang dipotong. Kemudian dijahit dengan batang bemban. Batang bemban itu banyak tumbuh dalam alur sagu di depan rumah. Batang bemban dipotong kepada empat bahagian secara menajang. Kulit batang bemban itulah yang menjadi tali untuk dijahit pada atap rumbia tersebut. Sebahagian bumbung pula ada yang dibubuh zink. Memang cukup bingit lantunannya. Terutama bila air menitik. Tik tok tik tok..bunyinya. Angin timur laut bertiup deras. Ada pokok tumbang. Ada dahan patah. Ada ranting jatuh. Tempias sehingga masuk ke dalam rumah. Habis bocor satu rumah.

Waktu pagi susah untuk bangun ketika musim hujan. Sejuk dan kaku. Air pun mcm rasa macam ais. Sejuknya. Kadangkala kena jerang air utk dptkn air suam. Baru boleh mandi. Kalau hari cuti memang sambung tidur lepas solat subuh. Memang tidak mandi langsung. Pukul 12 baru bangun. Itupun suasana masih gelap dgn keadaan langit hitam. Aku tak sedar rupanya sudah menjelang tghari. Selalunya pada musim hujan ibu rebus ubi kayu, ubi keledek serta tanak pulut. Pulut pulak dicicah dengan ikan kering atau kelapa yang dicampur gula. Aku dengan abang Din berbekalkn cangkul kontot pergi belakang rumah. Payung pula daripada daun pisang. Potong daun pisang buat peneduh. Orang zaman itu seperti Tok Dor Umar memang tidak ada baju hujan tapi membuat baju hujan daripada upih pinang. Upih itu diikat dengan tali kecil drp pokok bemban. Dijahit kulit batang bemban yang tumbuh dalam alur sagu. Pada hujung upih yang diikat itu diletakkan batang kayu yang kecil untuk disangkut pada kepala. Itulah payung yang digunakan peringkat awal. Upih pinang itu pula banyak kegunaan. Antaranya untuk permainan tarik orang. Siapa cepat dia menang.

Kerja gali ubi kayu, ubi keledek dan segala jenis ubi memang kegemaran kami. Kadangkala ubi keladi pun jadi menu. Ubi akan direbus atau dibakar. Ubi keledek dimasukkan dalam sayur lemak putih. Kekenyangan mkn ubi dan pulut rupanya mengembungkan perut. Asyik keluarkan angin. Masing2 berlawan keluarkan angin. Siapa paling banyak dikira juara. Yang tak tahannya ada yang sampai terkeluar najis cair. Busuk memang tidak terkira.

Bapaku selalu mengalami sakit urat ketika musim hujan. Keadaan sejuk menyebabkan kesihatan bapaku terganggu. Memang bapaku dilahirkan sempurna tetapi ketika remaja pergelangan kakinya dijangkiti penyakit ‘puru’. Sejenis penyakit yang menyerang sendi. Kesannya kakinya menjadi cacat dan berjalan ‘kekcot’ hinggalah ke akhir hayat. Lanjutan drp penyakit itulah yang selalu mengganggu kesihatan beliau. Ibuku akan membakar tungku atas dapur kayu. Bila sudah panas, tungku akan diambil dengan kain buruk. Dilapisi dengan kertas dan kain perca. Kami bergilir-gilir menungku ayah dengan batu tungku. Kadangkala belakang pijak-pijak.

Pada musim begini ada penjaja yang sanggup datang dari Kg Bongor untuk menjual ikan pekasam atau ikan ‘paih’. Mereka menjunjung bakul yang berisi ikan kecil yang telah digaramkan sambil berjalan kaki dan berkaki ayam. Ikan itu akan digoreng dengan telur. Memang baunya menusuk hidung kerana busuk. Angin yang keluar lagi busuk daripada ikan tersebut. Namun pada musim hujan sangat laris. Boleh dimakan dengan pulut juga. Kg tersebut lebih jauh daripada Kg Jejawi selalu dinaiki air dan berdekatan sungai. Ada antara mereka yang membuat bubu, memukat dan menjala untuk mendapatkan ikan darat. Ikan puyu, ikan haruan, ikan keli memang banyak dijual pada musim hujan.

Aku juga ambil kesempatan bermain air banjir. Sawah padi Pak Mat Jaafar dan milik Tok Ayah Tuan Yib juga selalu digenangi air bila musim hujan. Kawan-kawanku seperti Zaki Ghopa, Ibrahim Tiak, Hadi, Sidi, Mi Mat Daud selalu bermain rakit. Rakit diperbuat daripada batang buluh yang diikat dengan tali rafia. Buluh-buluh disusun secara bertindan-tindan. Boleh dinaiki 3 orang. Dua orang akan berada dalam air untuk menolak rakit tersebut. Sealaunya gunakan galah untuk menolak rakit itu agar bergerak.Airnya tidak berapa dalam. Namun lintah cukup banyak. Kadangkala ada melekat kat celah jari kaki. Celah lutut. Paha dsbnya. Aku memang tidak geli dengan lintah. Satu sahaja yang aku risau takut masuk lubang punggung. Lintah yang kembung akan mula melepaskan gigitan. Bekas gigitan terasa gatal. Kawasan sawah tersebut juga tempat orang mencari belut. Menggunakan buluh. Dalam buluh diisikan umpan berupa nasi dan ikan. Belut memang licin dan menggigit. Sedap jika dibuat sup atau singgang. Namun ibuku memang tidak suka makan belut. Beliau cakap macam ular. Namun bagiku rasanya memang sedap. Seperti ikan keli.

Disebabkan suka main air dan lasak, aku juga selalu kena kudis dan bisul. Kudis penuh di kepala dan kaki. Menurut ibuku rambutku dibotakkan kerana kudis yang banyak. Dulu belum ada ubat seperti sekarang. Sekadar ambil daun kadak. Lenyek-lenyek dan dilumurkan pada tempat yang berkudis. Namun kudis tetap galak membiak di badanku. Sembuh kudis naik pula bisul. Bisul ni selalu tumbuh di tempat yang strategik . Di paha, punggung, lutut dan yang paling menyiksakan berhampiran lubang najis. Bisul yang baru tumbuh tidak bermata. Sehinggalah kembang dan bersinar serta bermata maka sesuailah untuk dipicit. Namun proses memicitnya sangatlah menyiksakan. Ibuku memang cukup geram dengan bisul yang bermata itu. Dipicitnya keluar habis nanah serta darah. Mulutku pula meraung kesakitan. Yang tumbuh berdekatan lubang najis itu lagi menyakitkanku. Tidur pun sambil meniarap dan dicungitkan buntut itu agar lebih selesa. Rakan-rakan yang datang melawat nak tengok pun aku tak sanggup tunjuk. Memang tak tergamak aku nak tunjuk.

Masalah cacing juga menjadi wabak kepada kanak-kanak pada masa itu. Di sekolah ada program makan ubat cacing. Setiap murid beratur dan disuap satu sudu ubat cacing. Ubatnya memang bau semacam. Rasanya memang payau dan pahit. Ada yang dipegang mulut serta dimasukkan ubat cacing secara paksa. Ada yang termuntah-muntah. Habis putih kaki lima sekolah. Misi(nurse) cakap ubat ini untuk bunuh cacing. Pada malam aku rasa nak buang najis tapi sudah larut malam. Bunyi burung hantu pun bersahut-sahutan. Menakutkanku untuk ke tandas di luar rumah. Ibu suruh aku buang di lantai jarang sahaja. Tetiba aku rasa ada sesuatu yang panjang berjolor di lubang najis. Terkejut aku sehingga menjerit “Mek..Ular!” Ibuku terkejut. Dia tanya mana ular? Aku cakap kat lubang punggung. Bukan ular tu cacing!!. Ditariknya kepala cacing yang panjang itu keluar sepenuhnya. Panjang hampir sedepa. Baruku teringat pagi sebelum itu aku makan ubat cacing di sekolah...(bersambung)

Tuesday, April 19, 2016

CATATAN XIII – Hari Raya

Bila tiba hari raya suasana cukup meriah. Sehari sebelum raya dipanggil hari buat ketupat. Hari itu sibuk mencari daun palas yang dijual secara menjaja atau boleh di dapati di Bandar Pasir Mas. Ibuku cukup pandai buat ketupat. Kebolehannya tak dapat diwarisi oleh kami terutama kakak-kakak kami. Ibuku pandai tanak nasi pulut untuk dimasukkan ke dalam sarung ketupat. Daun palas yang dibeli dengan harga 10 sen itu dibuka satu persatu. Daun palas berlipat-lipat. Bila dibuka rupanya besar juga. Kemudianku lihat ibuku menggunakan tangan membuat seperti bentuk kelosong. Lalu memasukkan pulut yang ditanak itu ke dalam daun palas tersebut. Sesudah diikat, ketupat pulut yang bersegi tiga itu dimasukkan dalam kukusan. Bila sudah masak akan diletakkan di dalam nyiru dan diletakkan di atas para di dapur. Ada ketupat tawar dan ketupat manis. Yang tawar disediakan air gula Melaka untuk dicicah. Yang manis kadangkala dimasukkan kacang dan daging. Ketupat yang dah masak berminyak. Jika tiada tisu kami lap pada betis dan seluar. Habis kotor seluar.

Ketupat pulut-Gambar hiasan

Selain itu dibuat tapai beras. Selalunya tapai dimasak dengan dicampur dengan ragi(yis). Beras yang bercampur dengan ragi ini akan dimasukkan dalam daun pisang atau daun pokok getah. Diikat dengan lidi kecil. Dua malam juga untuk menunggu masak. Selalunya ibu simpan bawah katil atau bawah dapur.

Seminggu sebelum raya berkumandang lagu raya seperti ‘Selamat Hari Raya’ oleh M. Jais. ‘Dendang Perantau’ oleh P. Ramlee, ‘Suasana Hari Raya’ oleh Saloma, ‘Seloka di hari Raya’ oleh Anuar dan Elina. Memang lagu-lagu itu cukup evergreen sampai sekarang. Tidak puas mendengarnya. Hari sebelum raya juga memberi debaran terutamanya untuk mendengar pengumuman hari raya pada waktu selepas berbuka puasa. Jika kelihatan anak bulan maka esok sambut rayalah kami. Pada hari buat ketupat juga kami dikerahkan untuk membersihkan halaman rumah, membuang sawan yang berserabut di penjuru tingkat dan siling rumah.

Gambar ketika Hari raya pada 1975

Baju raya dibeli seminggu sebelum raya. Kami ramai-ramai pergi ke Bandar Pasir Mas. Catar kereta Pakchu Hamat. Kebetulan bapa baru dapat gaji. Dalam mencari-cari baju dan keperluan raya, terasa dahaga. Maklumlah bulan puasa. Banyak kuih serta air yang berwarna warni. Yang tak dapat ditemui luar bulan puasa seperti kuih taik itik, bunga tanjung, puteri mandi, jala emas dsb. Air pula macam-macam warna dan jenis. Itu menarik keinginanku untuk berbuka puasa.

Selepas diumumkan bahawa esoknya hari raya kami kegembiraan. Waktu itu tiada mercun seperti sekarang. Takbir raya mula bergema melalui corong radio transistor jenama Philips berkuasa bateri everyday. Kami kegembiraan. Malam itu tidur lewat. Ketupat pun sudah masak. Kami berebut mkn ketupat dicicah dgn nisan(gula Melaka) Manis rasanya. Tapai beras pula belum masak. Ibu cakap masih ‘demam’. Entah apa yang demam.

Kami bangun awal-awal pagi lagi. Kokokan ayam bersahut-sahutan. Ada bunyi nyaring. Ada bunyi bingit. Mcm2 bunyi. Seolah2 bertanding antara ayam -ayam itu. Mandi beramai-ramai kadangkala bapa yang tolong mandikan. Kalau nak cepat, kami duduk belakang bapa sambil dia jirus dari kepala ke badan. Dengan menggosok badan menggunakan sabut kelapa dicampur dengan sabun berbuku, bau jadi wangi. Air pula sangat dingin. Menggigil kesejukan. Timba yang dibuat daripada upih pinang menjadi teman setia ketika mandi.

Sesudah itu kami beramai-ramai ke balaisah untuk menunaikan solat hari raya. . Bapaku menjadi khatib dan imam. Kanak-kanak cukup ramai ke surau. Berpakaian baru. Kebiasaannya Pakchu Hamat akan mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak sesudah solat raya. Gembira sungguh. Bermulalah menjelajah kampung. Selalunya rumah Cikgu Mat kat Pondok Banggol Setol (kubor) menjadi tumpuan. Di kedai itu banyak dijual mercun seperti mercun gasing, bedil tarik, mercun roket. Belum ada lagi mercun yang bunyi kuat seperti sekarang. Duit dihabiskan dengan membeli mercun, gula-gula, belon. Di kedai cikgu Mat juga ada dijual gulale (gula-gula kapas). Sedap dan manis. Ada mesin yang berpusing-pusing dan menghasilkan gula kapas. Menjelang tengah hari baru pulang ke rumah. Makan ketupat dan minum air lemoned cap ayam.

Ibuku menziarahi jiran-jiran yang terdekat. Antara rumah yang dikunjungi ialah rumah mak da aji Yoh, sebelah alik hulu. Cik Timoh Zakaria, alik naik. Rumah maksu Joh alik hilir. Amalan ziarah menziarahi memang menjadi tradisi.

Hari raya pertama sahaja yang meriah. Masuk hari raya kedua sudah hambar. Ramai yang bermula puasa enam. Termasuk ibu dan bapaku. Keadaan kembali seperti biasa. Namun amalan menziarahi masih berjalan. Kami sekeluarga cukup gembira jika pergi Kg laut. Kampung itulah tempat asal bapaku. Waktu itu masih ada Makcik Noh dan suaminya Ustaz Wan Mahmud atau Ayahchik. Orangnya cukup garang. Makcik Nah ada seorang anak perempuan yang sakit. Mengalami demam panas yang teruk. Akhirnya memberi kesan kepada kehidupannya. Sehinggalah umurnya waktu itu 20-an tapi seperti kanak-kanak berumur 2 tahun. Sungguh tabah makcik Nah menjaga anaknya itu. Pernah ibuku ditolak oleh anak perempuannya itu hingga masuk bakul ketika memgandungkan adik bongsuku. Makcik Nah buat perusahaan keropok. Bila pergi ke rumahnya kami sama-sama tolong mengisikan keropok dalam plastik lutsinar. Kemudian hujung plastik dilipat dan dibakar dengan api pelita untuk melekatkannya. Rumah-rumah di kawasan tersebut dibina rapat-rapat. Celah-celah lorong hanya boleh dilalui oleh basikal dan motor sahaja. Kalau musim hujan terpaksa kami mengharung air dan lecah. Satu perkara yang menyeronokkan juga ialah apabila ke Kg Laut, kami dapat menaiki motor air atau kapal kecil dari Kg Laut ke Kota Bharu. Tambang hanya 10 sen pada waktu itu. Sampai di Kota bharu naik beca roda tiga untuk ke stesen Bas SKMK di tengah bandar Kota Bahru. Berjalan-jalan di Kota Bharu sambil makan roti tempayan kuah kambing dekat Stesen Bas SKMK.

Aku juga cukup gembira kerana banyak mendapat duit raya. Tiada sampul seperti sekarang. Ibu nasihatkan aku simpan dalam tabung. Tabung dibuat daripada buluh. Buluh ditebuk untuk membolehkan duit syiling dimasukkan. Kadangkala tin biskut, tin milo juga dapat dijadikan sebagai tabung. Disimpan bawah katil. Namun tidak lama, aku ni jenis pemboros. Selalu ditebuk untuk berbelanja. Orang kemboja menjaja aiskrim menggunakan basikal sambil membunyikan hon yang bergetah bulat dan corong panjang. ‘pooop’, ‘pooop’. Mengejutkan aku daripada tidur. Terutamanya waktu petang. Aku akan memanggil untuk beli aiskrim. Selalunya aiskrim bunjut. Diisikan perisa milo, sirap, asam boi.

Kadangkala Tok Ayah (india muslim, berjanggut, berbaju dan kain putih) menjaja roti dengan basikal tua. Diletakkan bakul bulat dibahagian belakang. Pelbagai roti dijual. Roti kaya ada, roti kosong ada. Waktu kami tiada duit, Tok Ayah bagi kelonggaran untuk menukarkan dengan telur ayam kampung. Pernah abang aku, bawa telur yang sedang dieram. Tok ayah akan menilik telur pada cahaya matahari. Jika ada lembaga(anak ayam) dalam telur maka urusan pertukaran itu terbatal. Kempunanlah nak makan roti kaya yang dijaja oleh Tok Ayah. Ada orang kata, Tok Ayah menjaja ke seluruh negeri dengan mengayuh basikal.

Bila tiba musim banjir...(bersambung)

Thursday, April 14, 2016

CATATAN XII

Suasana di rumah

Menjelang malam suasana kembali sunyi. Hanya dipenuhi dengan bunyi cengkerik, belalang, riang-riang dan katak dalam alur sagu bersahut-sahutan. Belalang pelesit memang menakutkan. Bunyi pun mcm pelesit. Tika itu orang kampung belum mampu untuk membeli lampu suluh. Ada yang menggunakan karok(api yang dibakar pada daun kelapa kering yang diikat-ikat) sebagai penyuluh untuk berjalan pada waktu malam. Risau juga takut ada ular tedung yang berkeliaran pada waktu malam. Kena pagut memang jadi gemulah. Pelita minyak tanah mula dipasang di dalam rumah. Jelaga drp pelita itu memberi kesan hitam kepada dinding dan siling rumah. Kadang-kadang aku membuat kerja sekolah berpandukan cahaya pelita. Amat menganggu jika ada serangga kecil berpusing-pusing di pelita itu. Buat aksi akrobatik. Pernah hidungku kehitaman kesan jelaga minyak tanah.

bermain bayang

Jika angin kuat padamlah pelita itu. Ada yang beli pelita yang lebih mahal. Sumbu pelita itu ada ditutupi kaca dan dihiasi dengan gambar perempuan mata sepet. Pelita menghasilkan bayang-bayang. Aku cukup gemar bermain dengan bayang. Macam-macam bentuk dapat dihasilkan. Bentuk kucing, itik, kambing dan sbgnya. Semakin dekat objek dengan pelita, semakin besar bayang-bayangnya. Kadangkala ambil selimut ikat antara kerusi dan tiang. Lepas tu buat objek dan kami berteka teki. Itulah hiburan yang ada.

Lampu gasolin -gambar hiasan

Kadangkala dipasang dengan lampu gasolin. Lampu ini akan diisi dengan minyak khas dipanggil speret. Terdapat tombol untuk dipam. Sumbunya lebih besar. Seumpama kain linen. Dinyalakan api dan cahayanya lebih terang seperti lampu kalimantang. Lampu ini selalunya dipasang di balaisah dan surau. Jika hujan pada petangnya banyak kelkatu yang terbang mengelilingi lampu tersebut. Begitu juga pelita minyak tanah dihurung oleh kelkatu. Menurut cerita orang tua, kelkatu ini nk cari pasangan. Entah betul entah tidak. Kadangkala bapaku letakkan minyak tanah dalam besen air. Ini akan menjadi perangkap dan terus membunuh kelkatu. Bosan melayan kelkatu hembus semua pelita dan terus tidur. Kadang kala pukul 9 sudah melelapkan mata. Maklumlah tiada hiburan pada waktu itu. Tv hanya boleh ditonton pada malam jumaat dan sabtu sahaja. Itupun rumah orang. Jika giliran bapaku mengajar kitab di balaisah, kami beramai-ramai ke balaisah yang jaraknya 2 km dari rumah. Bapa naik motor. Kadangkala dia pergi dahulu. Nak buka pintu balaisah. Kami akan ikut dengan berjalan kaki.

Kertuk

Di balaisah itu terdapat kertuk yang dibuat oleh Pak Teh Bedu. Dilapisi buah kelapa yang dipangkas. Atasnya diletakkan kayu. Pengetuknya diikat tiub getah sehingga tebal. Apabila diketuk bunyinya sungguh nyaring. Bergema satu kampung. Namun yang terdetak hati untuk ke balaisah orang yang sama. Keadaannya sama dengan sekarang. Siap dengan pemebsar suara lagi. Namun.... Fungsi kertuk sama dengan beduk untuk memberi peringatan waktu sembahyang. Selalunya bapaku mengajar kitab selepas maghrib. Antaranya berkaitan nifas, wuduk, solat, puasa dsbnya. Ruang solat balaisah itu diasingkan dengan mengguankan kain perca yang disambung-sambung. Diikat dengan tali rafia. Ahli jemaah yang setia menjadi makmum ialah seperti Jusoh Che Teh, PokTeh Bedu, Ya Butir, Abe Noor, LI Bisu, Pakcu Nik, Budak Awang, Paksu Ghoni, Paknik Hj Jusoh, Pakmuda Putih. Yang perempuan pula maksu Munah, Mak adek Rakno, Maksu Joh, Munah Ya dll. Bila tiba bulan puasa, ahli jemaah akan bergilir-gilir membuat morei. Yang paling popular ialah cendol, butir nako, kepek idung. Lepas terawih dan meratib. Kami makan-makan. Balik drp balaisah pergi cari colek malah. Selalunya Jusoh Che Teh yang selalu jadi bilal terawih. Bapaku jadi imam.

Masa nak bersahur juga menyusahkanku. Ibuku bangun seawal pukul 3,30 pagi. Perangat ikan singgang. Panas nasi dingin. Buat air teh. Aku memang payah nak bangun. Hanya dengan suara bapaku yang boleh mengejutkanku. Kalau sekadar suara ibu memang tak akan bangun sebab lebih sayangkan tidur. Kalau hari cuti, lepas solat subuh aku akan sambung tidur. Bangun pukul 10-11 pagi. Hari pertama puasa terus ke dapur dan minum air. Terkejut ibuku. “Batal doh posomu!..”ibuku cakap. Aku pun terus tidak puasa. Walaupun tak puasa tapi aku kena ikat perut seperti orang puasa juga kerana makanan tiada ada. Hanya disediakan pada waktu petang. Seawal pukul 3 petang ibu sudah bersusah di dapur. Tiap hari tanya kami nak makan apa untuk berbuka. Aku jawab nak makan nonde. Ibuku terus minta aku kukur kelapa dan kisar beras yang dicampur dengan daun pandan. Walaupun perut lapar tapi seronok menolong ibu di dapur. Macam-macam menu dibuat oleh ibu. Selain nonde, ada kepek idung, butir nako dan lompat tikam. Kadangkala ibu buat sira roti. Celup roti butut dalam air gula. Itu pun sedap. Sira ubi, pisang, keledek itu memang kebiasaan. Tapai ubi dan beras juga dibuat tapi pada hari raya.

Abgku, abg din pula berkayuh basikal tua beli air batu takung di Batu Tiga Repek. Ini adalah disebabkan kawasan itu sahaja yang ada elektrik. Satu bongkah air batu harganya dua puluh sen. Dipotong dalam bongkah segi empat sama dengan gergaji.Diletakkan habuk gergaji agar air batu tidak cair. Macam-macam air disediakan. Air sirap, air tuak, air kelapa. Semuanya ada. Juadah berbuka memang bermacam-macam. Menantikan waktu berbuka sempat bermain-main di halaman rumah. Menantikan waktu berbuka, radio diselangi dengan nasyid-nasyid oleh kumpulan al-Mizan, Orkes suraya, Aishah Jamil dsbnya. Lagu-lagu seperti 'Junjungan Mulia', 'Selimut Putih'. Cukup popular. Di samping itu muzik instrumental oleh Ron Goodwin spt rReturn to Paradise dan Heaven.

Masa berbuka memang ditunggu-tunggu. Air sudah sedia. Onde-onde sudah dalam mangkuk, nasi tersedia dengan lauk. Bunyi azan maghrib dalam radio menunjukkan waktu berbuka. Suasana sunyi dan hening. Semuanya mengadap makanan untuk berbuka. Selepas doa berbuka dibacakan, kami terus makan apa yang ada di depan mata...(bersambung)

Wednesday, April 13, 2016

CATATAN XI

Sampai shj di rumah, badan rasa amat letih. Terus berlari naik. Ibu selalu marah kerana aku suka berlari waktu naik tangga. Pernah tersadung dan jatuh. Rumah itu rumah lama tangga kayu. Dinding papan. Atap genting daripada bata nipis. Bata yang pecah kadang kala dibuat mengasah kuku. Ada kuda2(bangku) di kedua2 belah kiri dan kanan anjung. Pada bhgn kiri tangga tersedia tempayan atau guri yang berisi air. Air diambil dari perigi. Kadangkala terisi daripada air hujan yang turun dari saluran atap. Tempayan disediakn utk memudahkan tetamu basuh kaki. Penyebok diperbuat daripada tempurung kelapa. Pemegangnya daripada btg kayu atau buloh. Kebanyakan orang kg aku tidak berkasut waktu itu. Pak Nik Dol, Pakcu Che Nik, Pak DaHhamat, Pak Muda Putih(semuanya sudah arwah) memang tak pernah berkasut atau berselipar. Orang kata tapak kaki mereka tebal. Duri pun patah.

gambar hiasan - tempayan

Mereka selalu bertandang ke rumahku. Jumpa bapa. Bersembang, mcm2 dibualkannya. Selain menjadi guru dan ustaz,ayahku jg pemimpin masyarakat. Orang kuat sebuah parti politik. Sambil menunggu air masak yg dijerang atas dapur, maka dihidangkan cerana(tepak sirih). Terdapat pinang, gambir dan kapur. Sirih dilipat dan dicalit dengan kapur. Diletakkn juga buah pinang yg dihiris kecil2 menggunakan cekati. Hirisan kecil pinang diimasukkn ke dlm sirih yang dilipat dan terus masuk mulut. Dikunyah-kunyah. Airnya ditelan. Seumpama mengunyah chewing gum. Tidak ditelan. Aku pernah cuba tapi pedas rasanya. sesetengah rumah ada gobek(alat penghancur). Gobek terdiri dua komponen iaitu kepala gobek yg boleh dipegang serta besi yg tumpul pd hujung serta ibu gobek. ibu gobek dimasukkn pinang dan gambir. Kemudian dihentak dengan kepala gobek sehingga lumat. Selalunya yang tidak bergigi kerap guna gobek.

Kat kg aku masih ingat orang tua iaitu Pakcu Che Hat yg selalu guna gobek. Bercermin mata. Berkain sarung. Tali pinggang hijau yg bawa pergi Makkah. Jarang berselipar. Sambil bergobek cerita kisah zaman Jepun. Dia ckp dulu Jepun datang kg ambil ramai anak muda ke Burma tp tak pulang2. Jika nak mkn buah kelapa ditunjuk2 kat atas dan di suruh panjat. Jika tak mahu kena penampar Jepun. Aku suka tgk dia duk bergobek sambil bercerita. Kdgkala tak masuk akal tp seronok dengar pakcik Che Hat berbari(bercerita.

gambar hiasan

Rokok daun juga disediakan. Selalunya diikat dlm satu ikatan dengan gelang getah. Rokok daun digulung dan diletakkn tembakau. Kemudian dicucuh dengan ggesek cap lada. Ada yg ambil tembakau letakkn pd bibir. Berserongeh. Nak hilang hanyir katanya. Selepas mkn nasi. Sebelah hulu kgku ada orang menanam tembakau. Bila sudah dikutip dihantar ke rumah Mamat Jalilah(menantu pakcu Hamat). Ada gok/ban(rumah salai) tembakau di belakang rumah beliau. Kadangkala di htr ke kg Tok Sangkut jika kuantitinya byk. Disana ada jg Gok tembakau. Itulah tanaman sampingan ketika habis menuai padi.

Ibuku selalu hidangkan teh o panas. Bersamanya biskut marie bulat atau biskut gula. Bila cicah. Jd lembik. Penuh dalam cawan. Ambil sudu terus makan. Kadangkala panas-panas terus masuk mulut. Melecur lidah. Ibuku juga suka beli biskut bunga. Kebiasaannya bunga dimakan, biskut dibuang. Kalau teh masih panas. Tuang air dlm piring dan hirup. Bapa selalu bawa aku kat kedai abg Awang depan masjid bila dapat gaji. Minum teh susu, kopi cap bukit. Kedai Abg Awang tu juga menjual roti kering(roti berbuku yang dikeringkan). Sedap untuk dicicah air. Pokok buah-buahan pula tidak byk sangat. Itupun tinggalan datuk nenek yg sudah pergi. Antaranya pokok star. Buah star(kundang). Memang sedap. Masam. Warna hijau. Biji warna ungu. Buat colek mmg sedap. Bahan colek ialah kicap, gula dan cuka. Bila masak ranum jd warna coklat. Rasanya manis. Pada btg pokok ini juga abg Din buat tempat belajar. Macam 'ran'. Dibuat tempat duduk. Selalunya petang2 abg aku bawa buku dan belajar kat atas pokok itu. Pokok setol pula buahnya kena cekah. Bila masak isinya sedap dan masam. Kulitnya warna kuning bila masak. Satu lagi buah kayu arang. Masak ranum depan rumah Pak Nik Jusoh. Isterinya Makcik Setawa. Selalu kutip yang jatuh. Kadangkala Saidi Paksu Jusoh tolong panjat dan henjut dahan pokok. Luruhlah buah kayu arang itu.

Depan rumah bapaku tanam pokok kuinin. Bila tiba musimnya akan gugur bila cukup masak. Kadangkala guna galah untuk dikait bauhnya. Rasanya sedap seperti mangga. Bau pun memang menusuk hidung. Selain itu buah bacang tapi masam rasanya. Waktu mengupasnya aku berebut untuk dapatkan bijinya. Ini kerana boleh dikulum dan isinya masih banyak yang tidak dipotong.

Pokok durian pun ada di belakang rumah. Berakar banir yang besar. Di balik pokok itulah tempat kami melepas. Terutama waktu puncak. Tidak lama selepas itu bapa telah buat tandas yang baru. Lubang digali dan letakkan satu batnag kayu untuk memudahkan proses membuang. Tandas itu dilitupi oleh guni baja untuk menghalang pandangan orang. Namun baunya memang cukup busuk kerana lubang itu tidak tertutup sepenuhnya. Ulat-ulat kelihatan galak dalam gumpalan najis yang lama dan baru. Oleh itu aku suka buang di belakang pokok. Ini kerana najis itu tidak lama kerana ayam akan makan dengan mematuk secara beramai-ramai. Tandas yang betul-betul bagus dibina selepas itu. Digali lubang dan dibubuh kerek telaga. Di atasnya ditutup dan dibiarkan satu lubang untuk keluarkan gas. Tandas itu lebih tertutup. Namun air masih perlu dipunggah untuk membasuh najis pada punggung serta untuk mengalirkannya ke palong najis. Itulah antara sebabnya yang ramai dapat penyakit seperti taun, cacing kerana tandas yang tidak sesuai. Lepas dibina tandas tertutup itu, banyak penyakit dapat dielakkan.

gambar hiasan

Pokok rambai pun ada. Kadang kala ada budak2 muda yang panjat dan memungut ramabi dengan tangan lalu membuang ke bawah. Di bawah pokok beberapa orang akan menadah kain untuk menyambut rambai yang dibaling itu. Keadaan ini perlu dilakukan agar buahnya tidak rosak. Menjelang malam pula…(bersambung)